Orang Melayu jadi proksi warga asing beli hartanah di Malaysia, kata Dr Mahathir


Mereka yang ingin mendapat wang cara mudah sanggup meminjamkan nama sebagai eksekutif tertinggi bagi sesebuah syarikat milik pihak asing itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2017.

DR Mahathir Mohamad mendakwa entiti asing membeli tanah di Malaysia melalui orang Melayu sebagai proksi, yang kononnya syarikat milik Bumiputera.

Menurut bekas perdana menteri itu dalam catatan terbaru di blognya, orang Melayu yang ingin mendapat wang cara mudah akan meminjamkan nama mereka sebagai eksekutif tertinggi, seperti pengarah dan atau ketua pegawai eksekutif bagi sesebuah syarikat.

Beliau berkata semua entiti ini mempunyai berbilion ringgit, dan pemilik tanah Melayu yang enggan menjual akan ditawarkan harga tinggi supaya bersetuju bekerjasama.

Orang Melayu yang menjadi proksi meminjamkan nama kepada syarikat juga akan mendapat ganjaran besar.

“Pemilik syarikat akan hadiah bermillion ringgit kepada tuan punya nama pinjaman untuk syarikat yang didaftar sebagai syarikat tempatan milik Bumi. Orang asing yang pinjam nama orang Bumi amat kaya. Mereka memiliki berbillion ringgit. Banyaklah tanah akan dimiliki oleh mereka melalui proksi Melayu.”

Dr Mahathir, yang kini mengetuai gabungan pakatan pembangkang Pakatan Harapan, membidas angka dikeluarkan Putrajaya baru-baru ini mengenai kenaikan upah apabila beliau berkata proksi jutawan ini akan meningkatkan pendapatan per kapita orang Melayu.

“Fikirkan jika seorang daripada 1,000 orang Melayu menjadi jutawan, pendapat purata tiap seorang daripada 999 yang tidak berpendapatan akan berjumlah RM1,000.

“​Inilah cara Melayu boleh jadi kaya dan pendapatan per kapita mereka meningkat.”

Beliau berkata di samping kekayaan baru ini, ia turut menjadikan orang Melayu dan kaum lain di negara ini kehilangan tanah milik mereka.

“Bersama dengan TRX (Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur), Sungai Besi, Melaka, Kuantan, Johor, Langkawi, Kedah, tanah yang berharga sudah tidak lagi milik rakyat. Ia sudah jadi sebahagian dari negara lain.

Contoh diberikan beliau itu disenaraikan adalah projek melibatkan syarikat-syarikat dari China sebagai pemaju atau pelabur utama.

Kebanyakan firma besar Cina yang secara aktif melabur di luar negara dikaitkan dengan kerajaan, dan dilihat di seluruh dunia sebagai lanjutan dasar asing dan ekonomi Beijing.

“Tetapi okay. Melayu dan lain-lain warganegara sudah kaya. Sekurang-kurangnya sebahagian dari hutang 1 billion sudah dibayar.”

Dr Mahathir, yang sedang dalam kempen menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak pada pilihan raya umum akan datang, berkata rakyat Malaysia terutama orang Melayu, boleh melihat dengan bangga Malaysia menjadi sebuah negara maju yang penuh dengan pencakar langit walaupun tinggal di pondok papan berbumbung zink di kawasan setinggan.

“Kekayaan hasil dari pinjaman nama rupa-rupanya tidak kekal. Dan kembalilah orang Melayu ke pinggir hutan, jauh dari pencakar langit yang memenuhi tanah Melayu dahulu.”

Dr Mahathir menyebut pajakan Singapura kepada British pada 1819 sebagai contoh apa yang boleh berlaku jika tanah dijual kepada entiti asing.

“​Bukan sahaja sudah bukan kita punya, undang-undang negara kita, duit negara kita juga tidak diguna. Masih kita punyakah?

“​Apabila kita sudah jual semua tanah kita, apakah Malaysia masih kita punya?

“​Sokonglah Najib, penyangak, perompak dan lanun Melayu.” – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen