Polis siasat empat individu kes pukul di sekolah tahfiz


Muzliza Mustafa

Selepas kematian pelajar tahfiz di Johor bulan lalu, beberapa kejadian kes dera di sekolah agama dilaporkan dengan terbaru di sebuah sekolah di Shah Alam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2017.

POLIS setakat ini menyoal siasat empat individu termasuk seorang lelaki berusia 27 tahun yang didakwa memukul pelajar tingkatan satu sebuah sekolah tahfiz di Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Shah Alam Shafien Mamat berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

“Kami belum membuat tangkapan lagi. Sekarang dalam proses mengumpul maklumat,” katanya.

Shafien berkata pengetua sekolah itu akan dipanggil untuk disoal siasat.

Insiden terbaru itu berlaku sebulan selepas kematian seorang pelajar tahfiz di Johor akibat kecederaan kerana dipukul oleh warden.

Dalam kejadian di Shah Alam itu, seorang pelajar berusia 13 tahun cedera di rusuk dan lengan selepas dikatakan dipukul warden asrama di sekolah tahfiz, lapor Harian Metro.

Menurut laporan itu, bapa pelajar terbabit berkata kejadian berlaku pada 10 Mei selepas anak lelakinya itu ditanya beberapa soalan peribadi, tetapi mangsa menafikan semua soalan itu.

Susulan itu, warden asrama itu dikatakan memukul mangsa dengan rotan dan menumbuknya, lapor Harian Metro.

Bapa mangsa membuat laporan di balai polis Seksyen 9 Shah Alam selepas kejadian pada 10 Mei.

Pada 26 April, seorang pelajar tahfiz Mohamed Thaqif Amin Mohd Gadaffi, 11, meninggal dunia selepas dipercayai dipukul di sekolahnya di Kota tinggi. Mangsa dibawa pulang pada 31 Mac dan kedua-dua kakinya dipotong akibat dipukul dan meninggal dunia, dua minggu selepas itu. – 17 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments