JOHNSON Lee, pengasas entiti perdagangan forex JJ Poor to Rich (JJPTR), ditangkap awal hari ini.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Petaling Jaya kira-kira jam 4.30 pagi, lapor The Star.
JJPTR disiasat atas tuduhan menipu selepas beberapa laporan polis dibuat terhadap syarikat itu beberapa minggu kebelakangan ini.
Penangkapan itu dibuat selepas pelbagai pihak berkuasa menyerbu lapan premis JJPTR di Pulau Pinang dan menahan 15 pekerja serta empat pelabur untuk disoal siasat dan dokumentasi.
Pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, pasukan penyiasat Akta Pengubahan Wang, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri, pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara, Suruhanjaya Keselamatan Siber dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia turut merampas dokumen, komputer, peralatan lain dan wang tunai ketika serbuan.
Minggu lalu, pengarah CCID Pesuruhjaya Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis membekukan beberapa akaun milik syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Syarikat itu, menawarkan perkhidmatan tanpa kebenaran daripada BNM, mendakwa akaun dagangannya digodam bulan lalu, mengakibatkan kerugian lebih AS$400 juta (RM1.7 bilion).
Lee memberitahu pelabur akan memulangkan semula duit mereka dan JJPTR memperkenalkan pelan pelaburan baru bagi menggantikan skim perdagangan forex.
Skim perdagangan forex bermula pada Mei 2015, menawarkan pelabur 20% pulangan bulanan bagi pelaburan serendah AS$25 hingga maksimum AS$1,000.
Acryl mengesahkan penahanan hari ini, sambil menambah polis merampas sebuah kereta, 11 kad kredit dan debit serta wang tunai RM20, 936. Ketiga-tiga mereka akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Klang pada jam 2 petang. β 16 Mei, 2017.
Comments