PENGERUSI Bersih Maria Chin Abdullah berkata polis perlu berhenti menindas organisasi itu dengan meminta mereka datang ke balai memberi keterangan.
Katanya, polis boleh terus mendakwa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu jika mendapati mereka melanggar undang-undang.
“Berhenti tindas kami, berhenti panggil kami untuk beri keterangan. Kalau hendak, dakwa saja kami di mahkamah.
“Jangan buang masa kami untuk datang ke balai polis dan beri keterangan,” katanya ketika ditemui media di Petaling Jaya hari ini.
Maria dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya petang tadi bagi memberikan keterangan berhubung ucapannya [ada satu majlis anjuran wakil rakyat Pulau Pinang, Lee Khai Loon pada Disember lalu.
Awal pagi semalam, tiga ahli Bersih 2.0 turut dipanggil bagi merakamkan keterangan di IPD Dang Wangi bagi kes berbeza.
Tiga individu terbabit ialah koordinator Bersih 2.0 Mandeep Singh, penyelaras advokasi dan pendidikan Ze Randhawa serta penyelaras outreach Chan Tsu Chong yang semuanya disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Maria berkata tindakan polis itu dilihat sebagai penindasan berterusan terhadap Bersih.
“Ini penindasan. Tuntutan kami hanyalah mahu pilihan raya bersih dan adil,” katanya.
Beliau berkata setakat ini sekurang- kurangnya 10 ahli Bersih termasuk penganjur yang terlibat dengan aktiviti NGO itu dipanggil memberi keterangan.
“Selepas saya dibebaskan daripada dakwaan Sosma, sudah empat kali (termasuk kali ini) saya ditahan,” katanya.
Mengulas mengenai rakaman keterangannya hari ini, Maria berkata beliau memilih untuk berdiam diri.
“Ada enam soalan yang diajukan kepada saya, tapi saya pilih untuk berdiam diri. Tapi ia bukan mengenai Sosma cuma mereka mempersoalkan ceramah itu dilakukan tanpa notis,” katanya. – 15 Mei, 2017.
Comments