Hannah pertikai masa siaran artikel Kamarul Yusof


Muzliza Mustafa

Hannah Yeoh menunjukkan bukunya “Becoming Hannah” yang merakamkan perjalanan hidupnya sebagai rakyat Malaysia, ibu dan isteri. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Mei, 2017.

SAMBIL menyatakan DAP pernah berdepan tuduhan hampir sama sebelum ini, Hannah Yeoh mempersoalkan artikel Dr Kamarul Yusoff yang disiarkan pada hari sama bekas gabenor Jakarta Ahok dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana menghina Al-Quran.

Dalam kenyataannya, Yeoh berkata sebagai penganut Kristian, beliau percaya kepada kedaulatan undang-undang, keadilan, ketelusan, kebertanggungjawaban, kesaksamaan dan tadbir urus yang baik.

“Dan semua itu dapat dicerminkan dalam perubahan perundangan yang saya perjuangkan sebagai Adun dan speaker DUN Selangor,” katanya.

Beliau juga menolak rasuah dan salah guna kuasa.

Berhubung bukunya bertajuk “Becoming Hannah”, Yeoh berkata tidak ada agenda rahsia di sebaliknya kerana buku itu sebelum ini dilancarkan pada 2014 dan secara rasmi pada Januari 2015. Buku itu boleh dibeli secara online dan di kedai buku besar seperti Kinokuniya, MPH, Popular dan Times.

“Buku itu merakamkan perjalanan peribadi saya sebagai golongan muda Malaysia dan mendokumentasikan kisah perkahwinan saya serta peranan baharu saya sebagai isteri dan ibu.

“Sebab itu ia diberi judul ‘Becoming Hannah’ dan bukannya ‘ Becoming DAP’ atau ‘Becoming a Christian,” katanya.

Speaker itu mengeluarkan kenyataan tidak lama selepas membuat laporan polis berhubung posting dimuat naik ke Facebook oleh pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Yusoff pada 10 Mei.

“Komitmen DAP ialah mewujudkan negara sekular seperti didefinisikan di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia. DAP mempunyai agenda rakyat Malaysia bukan Kristian,” katanya.

Pada 19 Mei, Kamarul menggunakan Yeoh sebagai contoh, menuduh DAP hipokrit dan berkata parti itu hanya mahu mengasingkan agama daripada politik, jika ia membabitkan Islam.

“...bagi DAP, pengasingan politik daripada agama hanya perlu dilakukan jika ia mengenai hal ehwal Islam. Tetapi jika ia agama lain seperti Kristian, maka mereka (DAP) ok,” tulis Kamarul di Facebook miliknya.

Penulis itu juga berkata Yeoh mendesak penganut Kristian lain menyertai politik bagi memperbaiki Malaysia.

Tulisan itu mendorong Mingguan Malaysia menerusi kolum Awang Selamat membangkitkan perkara itu kepada pembaca mereka.

Dalam kolum itu turut diletakkan artikel mengenai Ahok.

Akhbar Umno itu berkata: “Awang berpendapat, pengakuan Hannah itu sesuatu yang serius dan menyentuh soal sensitiviti agama kerana Islam adalah agama rasmi Persekutuan.”

Bagaimanapun, ia tidak menjelaskan mengapa pengakuan itu serius atau apa kaitannya dengan kedudukan Islam dalam negara ini.

Sementara itu, Kamarul mengakui menulis artikel itu dan berkata beliau sanggup memberi keterangan kepada polis.

“Saya sahkan sayalah penulisnya dan bertanggungjawab sepenuhnya atas tulisan saya. Saya tidak ada masalah memberi keterangan pada mana-mana pihak termasuk polis atau ke mahkamah jika perlu,” katanya.

Katanya, beliau ada bukti agenda Kristianisasi Yeoh dalam politik. – 15 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments