SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lagi pegawai Zakat Pulau Pinang (ZPP) hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah, menjadikan setakat ini 15 individu ditahan.
Pengarah SPRM Pulau Pinang Abdul Aziz Aban berkata tiga pegawai terbabit berusia antara 33 dan 49 tahun dan ditahan di pejabat mereka kira-kira jam 4.30 petang tadi.
Beliau berkata SPRM juga memanggil tiga lagi pegawai ZPP lain, seorang ahli perniagaan dan seorang kontraktor untuk memberikan keterangan berkaitan siasatan itu awal hari ini.
SPRM Pulau Pinang sebelum ini menahan 12 individu β empat pegawai berpangkat tinggi ZPP termasuk ketua pegawai eksekutifnya dan lapan kontraktor, minggu lalu.
Reman CEO ZPP dan seorang lagi pegawai kanan dilanjutkan hingga Khamis.
Dua lagi pegawai ZPP dibebaskan dengan bon RM10,000 setiap seorang.
Semua kontraktor dibebaskan pada hujung minggu lalu dan pagi ini dengan bon RM5,000 setiap seorang.
Minggu lalu, Aziz berkata siasatan awal menunjukkan semua individu terbabit didakwa menyalahgunakan dana bernilai jutaan ringgit dengan menganjurkan program sebelum keuntungannya diagihkan.
Katanya, SPRM percaya CEO terbabit menerima barangan berharga, wang, cek daripada kontraktor dan pembekal sebagai balasan kerana memberikan projek tertentu kepada mereka.
Aziz dilaporkan berkata suruhanjaya itu akan memburu lebih ramai individu, terutama kontraktor yang menerima projek daripada ZPP, bagi membantu siasatan. β 15 Mei, 2017.
Comments