BERTALU-TALU menghina Islam, kumpulan pendesak Melayu Perkasa melancarkan kempen anti calon MIC yang bakal bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Setiausaha agungnya Syed Hassan Syed Ali berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) itu biadab terhadap Islam terutama apabila campur tangan dalam isu pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik.
“Mulai Jumaat ini Perkasa akan memulakan kempen anti calon MIC. Kita akan kempen pada umat Islam yang mengundi MIC haram kerana mereka menghina Islam.
“Beberapa kali kenyataan MIC menghina orang Islam dan kami hilang sabar,” katanya pada satu sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur, hari ini.
Bermula di kawasan Parlimen dimenangi Presiden MIC Dr S.Subramaniam di Segamat, Perkasa juga mengerahkan ahlinya berkempen di kawasan popular lain seperti Cameron Highland dan Tapah.
“Masa inilah hendak dapatkan keuntungan waktu pilihan raya tetapi mereka melukakan hati orang Islam yang sentiasa bagi kemenangan kepada MIC selama ini,” katanya.
Dr Subramaniam yang juga menteri kesihatan pada 20 April lalu berkata Zakir tidak diperlukan dalam negara kerana tidak memberi sumbangan memajukan Islam selain tidak menguntungkan Malaysia.
Beliau berkata demikian pada ucapan terakhir dialog Transformasi Negara (TN50) susulan kebimbangan belia India, yang menyuarakan kemarahan terhadap kehadiran Zakir di Malaysia.
Sementara itu, Perkasa membuat 7 laporan polis serentak di seluruh negara selepas kenyataan Bendahari Agung MIC Vell Paari mengaitkan Perkasa dengan kumpulan militan IS disiarkan di The Star.
Walaupun The Star tidak memaparkan keseluruhan kenyataan rasmi Vell Pari, Perkasa mendakwa kenyataan berbaur hasutan itu tersebar melalui media sosial dan aplikasi WhatApps.
“Tapi nampaknya (laporan) The Star ini hendak selamat tidak mahu petik semua. Kami jumpa kenyataan penuh dalam aplikasi WhatApp dan portal yang kami tak kenal.
“Samar-samar tapi kami percaya dia punya. Sekiranya bukan beliau, Perkasa mahu beliau menafikan. Jika tidak pihak peguam akan teruskan tindakan undang-undang jika perlu,” kata Syed.
Bagaimanapun katanya, jika Vell Paari menafikan atau menarik balik kenyataan itu, Perkasa tidak akan berganjak daripada kempen anti parti MIC.
“Presiden beliau (Dr Subramaniam) pernah mencuit perasaan orang Islam bila menyentuh soal Dr Zakir Naik,” katanya. – 15 Mei, 2017.
Comments
Posted 9 years ago by Ali Along · Reply
The racist NGO blamed MIC for the emergence of Hindraf.
The real reason is that Perkasa wanted the MIC seats which were all Melayu and Orang Asli seats.
Posted 9 years ago by Joe Fernandez · Reply
Posted 9 years ago by Joe Fernandez · Reply