China, Malaysia makin rapat, hubungan dengan Singapura mungkin terjejas


The Malaysian Insight

Perdana Menteri Najib Razak bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping ketika menghadiri forum di Beijing hari ini. – Gambar EPA, 15 Mei, 2017.

KETIKA Malaysia dilihat semakin rapat dengan China, dijangkakan hubungan bilateral antara Kuala Lumpur dan Singapura akan lebih mencabar terutama dalam ekonomi dan ketenteraan.

Titik perselisihan yang akan berlaku mungkin: 1) Kontraktor yang akan membina landasan kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura dan 2) Tawaran oleh China untuk memasang pertahanan udara dan sistem radar di selatan Malaysia Barat.

Dalam beberapa mesyuarat sejak beberapa hari lalu, Presiden China Xi Jinping memberitahu Perdana Menteri Najib Razak yang Beijing akan menjadikan Malaysia tapak permulaan dasar polisi baharu China “One Belt One Road”.

Ukuran betapa rapatnya kedua-dua pemimpin itu ialah bila Najib memuat naik gambar dan menulis di akaun media sosialnya yang beliau duduk bersebelahan pemimpin berkuasa China pada majlis makan tengah hari, hari ini. Najib ialah salah seorang daripada 30 pemimpin dunia yang menghadiri forum itu.

Najib dan delegasi Malaysia berada di Beijing sejak Jumaat lalu untuk kedua-duanya, hubungan bilateral dan Forum Belt and Road Forum for International Cooperation, semalam dan hari ini.

Ini ialah lawatan ketujuh Najib ke China sejak menjawat jawatan perdana menteri pada 2009. Singapura tidak dijemput ke forum yang turut dihadiri pegawai kanan dari Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight pemimpin China itu memancing untuk China mendapat kontrak kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura, dengan China katanya akan membiayai landasan kereta api dari Bangkok ke Kuala Lumpur.

Kedua-dua landasan itu hanya mempunyai sistem sama, kata Xi yang dipetik berkata demikian pada majlis makan tengah hari itu.

Selain China, Jepun juga membida untuk mendapatkan kontrak kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura. Malaysia dikatakan lebih berpihak kepada China manakala Singapura lebih berminat dengan syarikat Jepun kerana pengalaman dan teknologi mereka.

Tidak banyak diketahui mengenai cadangan pembinaan landasan kereta api menghubungkan Kuala Lumpur dan Bangkok kecuali terminalnya dijangka dibina di Bandar Malaysia.

China juga menjanjikan pinjaman untuk pembinaan Landasan kereta api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion yang akan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Kuantan dan menyediakan jambatan landasan untuk barangan dari Selat Melaka ke Laut China Selatan, melepasi pelabuhan Singapura yang sibuk.

Presiden China menyentuh mengenai kebimbangan perkembangan IS di rantau itu dan menawarkan untuk memasang pertahanan udara dan sistem radar sebagai inisiatif bersama memerangi keganasan dan mengumpul maklumat risikan.

Sumber berkata pertahanan udara dan sistem radar di bahagian selatan semenanjung Malaysia itu akan menjadi perbalahan dengan Singapura, yang dilihat sebagai proksi kepada Amerika Syarikat di rantau itu oleh China.

Malaysia dan Singapura bersama dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) tetapi negara jiran secara perlahan-lahan menambah aset pertahanan mereka dan terdapat isu berkaitan kawalan ruang udara. – 15 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments