PKR akan membincangkan kedudukan tiga ahli majlis eksekutif (exco) Selangor dalam mesyuarat Biro Politik parti itu esok, kata setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan akan dihadiri Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
“Presiden berada di Sabah. Malam esok ada mesyuarat Biro Politik. Semalam Azmin memberi maklum balas pada saya sebagai setiausaha agung.
“Beliau memaklumkan butiran pertemuan beliau dan pesuruhjaya serta tiga exco PAS yang berlangsung pada Jumaat tetapi saya tidak tahu sama ada beliau memaklumkannya kepada presiden.
“Tetapi malam esok saya percaya perkara ini akan disampaikan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya.
Bagaimanapun, bekas ahli Parlimen Machang itu memberitahu hasil mesyuarat perlu diajukan kepada Azmin.
“Saya tidak mengetahui apa yang berlaku di dalam mesyuarat, lebih baik kita serahkan kepada Azmin,” katanya.
Susulan pembatalan tahaluf siyasi parti Islam itu dengan PKR, Azmin memanggil Pesuruhjaya PAS Sallehen Mukhyi dan dua exco Dr Yunus Hairi serta Zaidy Talib pada 12 Mei lalu.
Pertemuan hampir sejam bertujuan menuntut penjelasan mereka mengenai keputusan Majlis Syura yang memutuskan kerjasama politik dengan PKR.
Sebelum ini, semua perwakilan tiga sayap PAS – Ulama, Pemuda dan Pusat – meminta kepimpinan parti memutuskan hubungan dengan PKR pada muktamar parti Islam itu di Alor Setar, baru-baru ini.
Pada sama, Saifuddin masih menunggu jawapan PAS sama ada mereka akan menyertai kongres PKR yang bakal berlangsung Ahad ini.
“Pada masa kita merangka persiapan kongres, keputusan Majlis Syura belum berlaku. Jadi saya menghantar jemputan melalui pos.
“Semakan saya sehingga pagi tadi, kita belum dapat pengesahan kehadiran,” katanya lagi.
Kongres tahunan kali ke-12 yang bakal diadakan Shah Alam dijangka dihadiri 2,167 perwakilan dan 2,000 pemerhati dari seluruh negara. – 15 Mei, 2017.
Comments