Bekas ketua IPIC buru pemberi maklumat 1MDB, kata laporan Perancis


Bekas ketua IPIC Khadem Al Qubaisi (kanan)dilaporkan mengupah pasukan perisikan bertaraf dunia bagi mencari dua pemberi maklumat 1MDB sehingga dia tersingkir dari IPIC. - Gambar fail EPA, 13 Mei, 2017.

Bekas ketua syarikat minyak berkaitan negara Arab Saudi, IPIC sedang berusaha sedaya upaya untuk mencari mereka yang bertanggungjawab dalam pendedahan yang mengaitkannya dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Khadem Al Qubaisi, yang dahulunya merupakan pengarah urusan IPIC, sebelum dipaksa meninggalkan IPC secara tergesa-gesa pada April 2016 selepas kerugian 1MDB semakin jelas kepada Abu Dhabi pada 2015.

Di bawah pengurusan Khadem, IPIC diberikan jaminan bon 1MDB bernilai ASD$3.5 bilion pada 2012. Bulan lepas, IPIC berjaya memperolehi penyelesaian dengan 1MDB selepas melalui proses arbitrasi di London.

Tetapi untuk Khadem, semuanya bermula pada 2015 apabila dia berusaha sedaya upaya untuk mencari dua orang lelaki yang cuba memeras ugutnya supaya membayar ASD$60 juta sebagai balasan mendiamkan diri mengenai 1MDB.

Bagaimanapun, menurut sumber Intelligence Online, dua orang lelaki, dinamakan bekas setiausaha peribadi Khadem warga Perancis-Algeria, Racem H dan bekas pekerjanya seorang rakyat Perancis-Israel, Albert L sudah memfailkan aduan di Paris dan Algiers yang menuduhnya cuba mendiamkan mereka.

Khadem kemudiaanya mengupah khidmat seorang kenalan dan penyiasat peribadi Bernard Squarcini, bekas ketua perkhidmatan perisikan dalaman Perancis Direction Centrale du Renseignement Interieur ( DCRI) untuk mengesan kedua-dua lelaki tersebut.

Ketika itu, Racem sudahpun bersembunyi di Algeria, menjalinkan hubungan rapat dengan perkhidmatan perisikan Algeria bagi mendapatkan perlindungan, dan bekas rakan sekerjanya Albert pula sudah kembali ke Israel.

Melalui email yang dibocorkan, didapati yang Bernard melantik Arcanum Global Intelligence, rakan perisikan korporatnya untuk menjadi “rakan baik ala Dr Watson” dalam siasatan kes itu.

Khadem bukan hanya mengupah Bernard, dia juga mengupah Mohamed Dahlan, bekas ketua perisikan Fatah di Gaza yang kemudiannya menjadi penasihat operasi khas Mohammed bin Zayed.

Dahlan menawarkan bantuan untuk menguruskan operasi pemburuan di Israel, memandangkan dia mempunyai hubungan baik dengan perkhidmatan perisikan negara itu.

Ketika dunia sedang bergelut dengan misteri dan kerumitan skandal kewangan terbesar itu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) juga menjalankan siasatan ke atas Khadem kerana didakwa menerima jutaan dolar yang dirompak dari dana kekayaan negara Malaysia bernilai ASD1 bilion, 1MDB.

Selain FBI, Khadem juga dihendaki polis Perancis, pihak berkuasa di Sepanyol dan Itali yang sedang menyiasat Khadem dalam isu yang sama.

Tetapi mengapa Perancis berminat dengan Khadem? Adakah skandal 1MDB juga sudah menjejakkan khianatnya di bumi Perancis?

Intelligence Online mendedahkan pada Januari tahun ini yang Khadem meletakkan “orang dalam”, dalam kerajaan Perancis yang dipimpin Nicolas Sarkozy ketika skandal itu sedang hangat berlaku.

Bersama-sama Nicolas, wujud Frederic Lassagne, bekas pegawai kerajaan Perancis yang kini bekerja di sektor kewangan.

Frederic sebelum ini bersama Euro RSCG dan berkhidmat sebagai bekas ketua kakitangan menteri kewangan Francis Mer. Dia ialah penasihat khas selama tiga tahun kepada Eric Besson, ketika Eric menjadi menteri perindustrian Frederic.

Khadem mempengaruhi pelantikan Eric dalam lembaga pengarah subsidari IPIC di Sepanyol, Cepsa yang dipengerusikan Khadem. Bagaimanapun, Eric sudah meletak jawatan dalam lembaga pengarah itu apabila skandal 1MDB melibatkan Khadem terbongkar.

Menurut laporan perisikan Perancis, Khadem kini berada di Emirates Arab Bersatu (UAE) di bawah perlindungan Mansour bin Zayed Al Nahyan, pengerusi IPIC dan saudara Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammed Zayed Al Nahyan. – 13 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments