Kad Diskaun Siswa 1Malaysia belum diterima, jualan PABKL jatuh 40 peratus


Nabihah Hamid

PENERBIT buku tempatan kecewa apabila jualan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017 merosot hampir 40 peratus.

Selain faktor kuasa beli pengguna berkurangan kerana kos sara hidup tinggi, majoriti penerbit terkesan apabila kerajaan menggantikan baucar buku kepada Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M).

Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) menyifatkan pelajar universiti tempatan terutamanya tidak turun ke pesta buku kerana masih tidak menerima KADS1M tersebut.

Naib Presidennya, Arief Hakim Sani Rahman berkata berbeza dengan dua tahun sebelumnya, penggunaan baucar buku antara penyumbang besar kepada jualan penerbit.

“Selain disebabkan masalah ekonomi, satu segmen besar apabila pelajar universiti tidak datang kerana kad debit masih tidak diterima mereka. Itu kesan paling besar mempengaruhi pengunjung.

“Saya ada dengar (pelajar perolehi KADS1M) September ini tapi tidak pasti kenapa. Kalau tahun lalu guna baucar buku, Februari hingga Mac (baucar) sudah mula diberikan di kampus,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Amat terkesan pada pesta buku kali ini, Pengarah Penerbitan Galeri Ilmu, Badrul Hisham Shari kecewa jualan tidak capai sasaran meskipun lokasi diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC).

“Saya merasakan tahun ini jualan (Galeri Ilmu) menurun hampir 40 peratus. Mungkin disebabkan faktor ekonomi. Harga barang mahal, kos hidup tinggi dan pelajar pun belum dapat baucar buku (KADS1M).

“Kalau dulu orang ada duit lebih mereka belanja dan beli buku. Kini, kuasa beli pengguna berkurangan. Masyarakat berhati-hati belanja.

“Tahun 2015 jualan kami cecah 400,000 judul buku tapi tidak lagi sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika tinjauan pada Ahad lalu.

Penerbit mencuba pasaran dengan menerbitkan pelbagai jenis buku seperti buku kanak-kanak, kata Ketua Pegawai Eksekutif Thukul Cetak Zul Fikri Zamir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Mei, 2017.

PABKL yang berlangsung selama 10 hari, bermula 28 April hingga 7 Mei lepas hanya berjaya menarik pengunjung sekitar 1.8 juta berbanding 2.2 juta pada 2016.

Sedangkan pada 2015, PBAKL berjaya mengumpulkan 2.7 juta pengunjung di PWTC yang dianggap kegemilangan industri buku kerana sambutan memuncak selain jualan tinggi.

Penurunan jualan dan pengunjung didakwa merosot tahun lalu kerana penukaran lokasi di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Bagi pengasas Sindiket Sol-Jah, Sinaganaga, pihaknya kehilangan pelanggan hampir 60 peratus kalangan pelajar yang menggunakan baucar buku sebelum ini.

“Ada dua faktor, macam buku kami memang sasarkan kepada pelajar universiti, untuk kali ini baucar buku tiada, jadi kita hilang pelanggan hampir 60 peratus. Jualan turun 40 peratus.

“Macam tahun lalu jualan pun jatuh walaupun mahasiswa ada baucar, tetapi itu kerana lokasi berbeza bukan di PWTC,” katanya yang terlibat lebih sedekad dalam penerbitan buku Indie.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Thukul Cetak, Zul Fikri Zamir menggunakan strategi menerbitkan buku kanak-kanak dan genre kekeluargaan untuk meningkatkan hasil jualan.

“Semua penerbit pun mengalami nasib yang sama, jualan turun 40 peratus, orang semua mengharapkan jualan sama seperti dulu di PWTC sebab waktu itu ekonomi lebih rancak.

“Kita sudah cuba buat buku kanak-kanak, keluarga. Kita kena cuba pasaran kerana suasana sudah tidak menentu,” kata penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’.  

Mengakui jualan tidak memberangsangkan, pengasas Selut Press, Aloy Paradoks mencuba pelbagai strategi untuk meningkatkan pasaran.

“Disebabkan pelajar tiada baucar RM250 itu, mereka tidak datang membeli, itu faktor terbesar.

“Tapi kita cuba dengan strategi dimana kita terbitkan bahan lebih segar, telus dan lebih bersifat berani mengkritik serta melawan apa yang biasa dalam sastera.

“Kena berani buat pembaharuan daripada penulisan dan lari daripada penceritaan yang biasa,” katanya.

Selain itu, mereka berharap penerbit berharap pemilihan tarikh pesta akan datang lebih menepati dan tidak tertumpu pada cuti panjang.

“Ada faktor orang sudah mula belanja untuk hari raya. Yang paling kita bincang tahun depan kalau tarikh sama dipilih.

“Kita tak boleh fikir tarikh pesta buku sekitar cuti sekolah sebab saya rasa kalau cuti panjang, orang balik kampung,” kata Sinaganaga pula. – 13 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments