Generasi muda tak mahu insiden 13 Mei diungkit, biar ia berkubur


Nabihah Hamid

Generasi muda hari ini yakin dengan kematangan rakyat untuk menangani permasalahan kaum dan agama bagi memastikan negara terus aman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2017.

HAMPIR lima dekad sejak peristiwa berdarah 13 Mei 1969 berlaku, generasi masa kini berasa sudah sampai masanya ia “dikuburkan” buat selama-lamanya.

Mereka mengatakan ia pembaziran masa bagi ahli politik untuk terus memainkan isu satu lagi 13 Mei akan berlaku jika kaum dan agama tidak diurus dengan baik.

Golongan muda hari ini tidak melihat hari di mana persengketaan kaum dan agama mencapai kemuncak dan rakyat Malaysia sekali lagi beralih kepada keganasan untuk mengatasi satu sama lain.

Ratusan terbunuh dalam rusuhan pada 1969, yang berlaku selepas pilihan raya umum.

Bagi pelajar berusia 21 tahun, Nurul Aqilah Ahmad, yang juga ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara, UiTM  berkata peristiwa hitam itu sebaliknya dijadikan pengajaran untuk meningkatkan perpaduan kaum.

“Isu 13 Mei bukanlah modal yang baik untuk membangkitkan isu perkauman dalam negara. Mentaliti rakyat Malaysia sudah berada di kelas tersendiri.

“Mereka juga sudah didedahkan dengan kesan buruk jika negara bergolak. Melaluinya, mereka akan sentiasa menghormati sensitiviti sesama kaum,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sependapat dengannya, pelajar Satyarevathy Thangaraj, 23, berkata isu itu tidak sepatutnya dibangkitkan lagi selepas sekian lama.

“Perkara ini tidak patut berlaku kerana ia mungkin wujudkan jurang antara kaum dan secara tidak angsung menghancurkan konsep 1 Malaysia.

“Saya rasa peristiwa 13 Mei tidak akan bercetus kembali kerana struktur masyarakat pada 1969 sangat berbeza dengan sekarang.  Pada 1969 dasar pecah dan perintah berlaku dan pemisahan kaum mengikut bidang ekonomi dan geografi sangat mencolok.

“Namun pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mengubah struktur ekonomi dan sosial negara,” katanya yang merupakan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia.

Namun, satu kejadian baru-baru ini yang membabitkan jemaah Islam di surau di Johor memukul lelaki Cina kerana membunyikan hon tanpa henti ketika solat Jumaat, membuktikan hubungan antara kaum terus menjadi kebimbangan di negara ini.

Apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed memberi komen insiden itu, beliau menyentuh peristiwa rusuhan 13 Mei 1969, mengatakan sikap tidak bertoleransi agama dan kaum masih berleluasa dalam masyarakat.

Nur Jazlan berkata, kejadian itu perlu menjadi pengajaran kepada rakyat, sambil menambah ia sebagai bukti kerajaan bukan hanya ingin menakutkan rakyat.

“Apa yang kita lihat hari ini tidak menunjukkan ia boleh berlaku dengan mudah,” kata beliau.

“Isu ini tidak akan berlaku jika ada toleransi dan persefahaman di kalangan rakyat, terutama golongan muda.”

Bagaimanapun, Ketua Biro Strategi Umany, Ho Chi Yang, 22, berkata isu 13 Mei hanya digunakan untuk mengalihkan rakyat daripada isu utama dalam negara.

“Kebanyakan yang membangkitkan isu perkauman ialah ahli politik BN (Barisan Nasional) terutamanya Umno. Dengan adanya insiden 13 Mei, konsep ‘stabiliti’ sering diperalatkan ahli politik untuk mengalihkan rakyat daripada isu utama.

“Ia terutamanya apabila negara terbelit dalam skandal-skandal besar seperti skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB),” kata pelajar Universiti Malaya (UM) itu.

Menurutnya, ia hanya mengalihkan perhatian rakyat Malaysia daripada mencapai matlamat terpenting dalam usaha menyelamatkan Malaysia.

Ia turut dipersetujui Ahli Parlimen Belia 2014/2016, Ridhwan Rosli, 27, dan menggesa gambaran sebenar diberi kepada masyarakat terutamanya anak muda agar isu itu tidak dimanipulasikan.

“Saya setuju ramai ahli politik suka menggunakan isu kaum dan terutamanya peristiwa 13 Mei 1969 sebagai modal. Ia perkara tidak sihat sekiranya digunakan secara negatif.

“Bagaimanapun, jika rakyat terutamanya golongan muda diberikan gambaran sebenar dan pemahaman, pasti mereka tidak akan mudah dimanipulasikan ahli politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya amat berharap rakyat Malaysia tidak akan tertipu taktik ahli politik tetapi menumpukan tenaga dan usaha kita untuk membawa perubahan kepada negara,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Challenger, Jean Vaneisha Ravindran melahirkan kebimbangan rusuhan bakal tercetus jika isu berkaitan perkauman dibiarkan berleluasa.

“Kebanyakan anak muda yang bertindak berdasarkan prinsip perpaduan dan kesaksamaan bimbang kejadian rusuhan itu mungkin tercetus lagi hari ini. 

“Dan ia secara halus melalui dasar tindakan afirmatif untuk biasiswa, penempatan universiti, pekerjaan, diskriminasi kaum di tempat kerja; retorik kaum sewaktu perdebatan di Parlimen dan kempen politik, walaupun berbentuk tidak inklusif yang kita gunakan di media sosial,” kata pelajar International College Subang (Inti).

Justeru, hanya dengan kerjasama semua pihak secara aktif dan bersungguh-sungguh menentang segala bentuk perkauman dapat mengatasinya. – 13 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments