TANPA berdolak- dalih, Dr Mahathir Mohamad hari ini mengecam pihak yang sengaja mewujudkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU 14, melabelkan mereka sebagai penyokong Perdana Menteri Najib Razak dan parti pemerintah Barisan Nasional (BN).
Katanya, pembangkang mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang dalam pertembungan satu lawan satu, dan mengatakan mana-mana pihak yang bertanding melawan BN dan parti pembangkang mewujudkan risiko memecahkan undi untuk faedah parti pemerintah dalam Pilihan raya Umum ke- 14 nanti.
“Perbuatan ini menjadi satu jenis pengkhianatan kepada usaha menjatuhkan Najib dan menghentikan kerosakan kepada negara. Najib akan teruskan cara pentadbiran yang umum tahu akan memufliskan negara dan meletaknya di bawah kuasa asing.” tulis Dr Mahathir dalam catatan di blog popularnya, chedet.cc hari ini.
Mantan perdana menteri itu berkata yang pilihan raya umum akan datang akan menjadi pilihan raya terpenting dalam sejarah negara.
“Tumpuan ialah kepada menjatuhkan rejim Najib. Seluruh rakyat sedar bahawa rejim pimpinannya telah merosakkan negara,” tulis Dr Mahathir.
Dr Mahathir, yang memerintah bermula daripada tahun 1981 sehingga 2003, berkata Najib mengubah demokrasi kepada kleptokrasi di mana penjenayah merompak kekayaan negara.
“Kerajaan yang tidak berpandu kepada undang-undang; Kerajaan yang menekan rakyat secara zalim; yang membelakangkan keadilan; yang tidak hormati perpisahan antara legislative (pembentuk undang-undang) dengan executive (pelaksana dasar dan undang-undang) dan judiciary (kehakiman).”
“Ketiga-tiga ini dikuasai oleh Najib sebagai ketua Kerajaan dari pihak pembuat undang-undang,” tulis pemimpin berusia 91 tahun itu.
Dr Mahathir juga mendakwa Najib menamatkan dasar berkecuali Malaysia dengan mengadakan ikatan ketenteraan dengan China.
Dalam bidang ekonomi pula, Malaysia telah menderita disebabkan korupsi, perbelanjaan pentadbiran kerajaan yang meningkat, perkhidmatan awam yang terlalu besar dan bajet yang dibentuk untuk mempopularkan lagi perdana menteri, tulis Dr Mahathir lagi.
“Hari ini beban hutang tidak dapat dibayar oleh Kerajaan,” tambahnya.
Dr Mahathir juga menulis tentang peningkatan mendadak kos sara hidup yang disebabkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta kejatuhan drastik ringgit menyebabkan kesukaran hidup rakyat Malaysia bertambah. Ini menyebabkan ramai graduan universiti tidak mempunyai pekerjaan.
Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia itu turut mempersoalkan kualiti pelaburan asing yang dijemput perdana menteri.
“Pelaburan asing terhad kepada pembelian tanah untuk dibangun bandaraya oleh kontraktor luar dengan mengguna bahan dan pekerja dari negara kontraktor,” tulis Dr Mahathir.
Semua masalah politik, ekonomi dan sosial ini disebabkan oleh pengurusan dan dasar Najib, tambahnya.
“Hanya jika Kerajaan pimpinan Najib diganti dengan kerajaan baru sahaja barulah boleh keadaan politik, ekonomi dan sosial dipulih semula.”
“Bolehkah kita yakin Kerajaan yang mengganti dapat mentadbir dengan lebih baik dari Najib? Sesungguhnya tidak ada Kerajaan yang begitu buruk dan berjenayah besar seperti Kerajaan Najib.”
Dr Mahathir berkata yang pakatan yang sedang berusaha menggantikan kerajaan pemerintah terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam pentadbiran.
Tambahan pula, “Mereka tidak ada rekod jenayah atau menyalahguna kuasa,” tulisnya lagi. – 12 Mei, 2017.
Comments