Sibu dikenakan PKP bermula esok, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

PKP selama 14 hari di Sibu meliputi Selangau dan Kanowit bermula 16 Januari sehingga 29 Januari – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 15 Januari, 2021.

SIBU di Sarawak telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan kes Covid-19, kata Menteri Kanan (Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob.

“Daripada hanya dua kes positif, sekarang sudah 251 kes dan kebanyakannya dari kluster Rumah Panjang yang meliputi 18 rumah panjang.

“Kita sudah setuju untuk mengenakan PKP selama 14 hari di Sibu meliputi Selangau dan Kanowit bermula 16 Januari sehingga 29 Januari,” kata Ismail.

Sarawak bagaimanapun masih diletakkan di bawah PKP Pemulihan (PKPP) memandangkan negeri itu mempunyai kes aktif Covid-19 yang rendah.

Enam negeri telah memasuki hari ketiga PKP selepas dikuatkuasakan pada Rabu.

Hari ini, Kelantan menjadi negeri terbaru diletakkan di bawah PKP selepas mencatat peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah telah dikenakan PKP bermula 13 januari sehingga 26 Januari depan.

Manakala di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu diletakkan di bawah PKPP. – 15 Januari, 2021.


Sign up or sign in here to comment.


Comments