Majlis Syura PAS sahkan keputusan putus dengan PKR


Zulkifli Sulong

Setiausaha Majlis Syura Nik Muhammad Zawawi Salleh mengesahkan keputusan memutuskan hubungan dengan PKR selepas mesyuarat Majlis Syura hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Mei , 2017.

MAJLIS Syura Ulama PAS mengesahkan keputusan Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar sebelum ini yang sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan PKR.

Kenyataan yang dikeluarkan Setiauasaha Majlis Syura Nik Muhammad Zawawi Salleh selepas mesyuarat badan tertinggi PAS itu hari ini turut menyenaraikan tiga pelanggaran yang dilakukan PKR sehingga keputusan itu dibuat.

Antaranya ialah, tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355.

Selain itu, Majlis Syura juga mengatakan yang PKR melanggar adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.

Pelanggaran ketiga yang disenaraikan Majlis Syura ialah, khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya dengan bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihan raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Walaupun begitu, hubungan ahli termasuk urusan pentadbiran di Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

“Sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat,” kata Nik Zawawi.

PAS mempunyai 13 Adun di Selangor, dengan tiga daripadanya- Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib and Dr Ahmad Yunus Hairi- ialah ahli exco kerajaan negeri. – 11 Mei, 2017


Sign up or sign in here to comment.


Comments