Amanah akan terus kukuhkan Pakatan, kata Mat Sabu


Mohd Farhan Darwis Kamles Kumar

Amanah juga sedia jadi jambatan untuk menyatukan pembangkang demi rakyat dan negara, kata presidennya Mohamad Sabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2020.

AMANAH akan terus memainkan peranan untuk mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) serta meluaskan jaringan kerjasama untuk membentuk satu gabungan besar menjelang pilihan raya umum akan datang, kata presidennya Mohamad Sabu.

Katanya, gabungan besar itu memerlukan satu penjajaran semula politik, yang melibatkan parti-parti lain.

“Menyongsong ke hadapan, saya berpandangan adalah mustahak untuk Amanah terus berperanan memperkukuhkan Pakatan Harapan.

“Bahkan lebih mustahak lagi adalah untuk melebarkan kerjasama dengan semua pihak dan parti pembangkang yang lain buat menjalinkan satu penjajaran besar sebelum kita berjaya membentuk sekali lagi satu gabungan besar,” katanya, dalam pidato presiden pada Konvensyen Nasional 2020 Parti Amanah Negara, di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Mohamad juga menegaskan kesediaan untuk jadi “jambatan” untuk mengukuhkan PH dan menyatukan parti-parti lain dalam satu gabungan besar pembangkang.

“Saya bersedia menjadi ‘jambatan penghubung’ yang biar pun dijadikan tempat berpijak namun demi rakyat dan negara tercinta ini, saya akan lakukan seperti yang telah kita sama-sama galas dahulu yakni dengan bersungguh-sungguh dan penuh iltizam, yang tidak berbelah bahagi.

“Inilah antara peranan Amanah sejak awal lagi,” katanya.

Mohamad juga mengingatkan tiada kawan atau lawan yang kekal dalam politiknya, sebaliknya yang kekal adalah kepentingan.

“Kepentingan bersama kita adalah untuk menjunjung cita-cita yang berpaksikan kepentingan rakyat dan kesejahteraan negara – menentang rasuah, kleptokrasi, kezaliman, perkauman dan anutan agama yang ekstrem dan melampau yang menjadi amalan dan dukungan sesetengah pihak,” katanya.

PH kini dibentuk oleh tiga parti PKR, DAP dan Amanah, selepas Bersatu dibawa keluar dari gabungan itu oleh presidennya Muhyiddin Yassin, yang sekarang perdana menteri.

Selepas percaturan politik pada hujung Februari lalu, PH kini jadi blok utama pembangkang bersama antaranya Parti Warisan Sabah dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum disahkan pendaftarannya.

Mohamad, dalam satu kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng, baru-baru ini mengusulkan agar pakatan pembangkang bersatu dengan kekuatan 108 suara di Dewan Rakyat.

Mereka mencadangkan PH membuat anjakan politik untuk menyatukan seluruh blok pembangkang, dan berhenti daripada berusaha untuk memancing sokongan wakil rakyat dari blok kerajaan untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional.

Konvensyen Nasional 2020 Amanah hari ini dihadiri beberapa pemimpin parti lain antaranya Liew Chin Tong (DAP) dan timbalan presiden penaja Pejuang Marzuki Yahya.

Kembalikan musyawarah dalam PH

Dalam pada itu, Mohamad mahu budaya dan amalan berbincang dalam PH – yang diakuinya sekarang sudah terjejas – kembali dijadikan asas untuk menyelesaikan apa juga masalah dalam gabungan itu.

“Ketelusan dan perkongsian yang telah membina tahap kepercayaan atau ‘trust’ yang tinggi di kalangan pimpinan tertinggi PH sejak sekian lamanya.

“Amat diakui amalan dan tradisi ini sedikit terjejas akhir-akhir ini,” katanya. – 26 Disember, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen