Kacau-bilau di KL


Muzliza Mustafa

EMPAT perompak ditembak mati, 31 orang ditahan dalam pergaduhan dan pertengkaran di kelab malam di Kuala Lumpur, hanya beberapa jam selepas cuti umum menyambut kelahiran Buddha.

Kejadian pertama berlaku di pusat hiburan terbesar Kuala Lumpur, TREC apabila 40 orang terlibat dalam pergaduhan selepas pertengkaran sebelum itu.

Sepuluh pengunjung- lima dari United Kingdom, dua dari Ireland dan tiga Malaysia- ditahan. Dua daripada mereka cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur sementara yang lain hanya menerima rawatan pesakit luar.

Pada masa yang hampir sama, di Bangsar, yang jauhnya 13 km dari tempat pertama, sekurang-kurangnya 30 orang terlibat dalam satu lagi pergaduhan.

Polis menahan 21 orang, empat daripadanya wanita, kerana terlibat dalam pergaduhan di Jalan Telawi itu.

Tengahari ini pula, polis menembak mati empat perompak selepas kejadian kejar mengejar yang berakhir di Taman Sri Rampai, Setapak.

Pergaduhan tercetus pada jam 2 pagi di Arte Bar di Jalan Tun Razak selepas perselisihan kecil antara orang tempatan dan seorang warga British merebak menjadi pergaduhan jalanan melibatkan 40 orang di luar kelab itu.

Dua orang yang berada di tempat kejadian- seorang ahli perniagaan dan pegawal peribadinya- menembak ke udara dalam cubaan untuk menghentikan pergaduhan itu, tetapi pergaduhan hanya terhenti apabila polis tiba di tempat kejadian.

Polis menahan 10 suspek, berusia antara 17 sehingga 32 tahun, serta merampas pistol milik ahli perniagaan dan pegawal peribadinya itu. Kedua-dua mereka dikatakan memiliki lesen senjata api.

Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh berkata 10 orang terbabit disiasat kerana merusuh dan ahli perniagaan dan pengawal peribadinya disiasat di bawah Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu di Bangsar pula, pada jam 3.30 pagi polis tiba di sana apabila 30 orang terlibat dalam pergaduhan di depan sebuah restoran nasi daun pisang.

The New Straits Times melaporkan yang sebuah kereta berundur kepada pihak polis yang sampai, hampir melanggar mereka.

Kereta itu kemudiannya memecut ke Jalan Ara dan hampir melanggar sebuah lagi kereta peronda polis. Polis kemudiannya melepaskan tembakan, mengenai bahagian hadapan kereta tersebut. Pemandu itu kemudiannya melarikan diri dan meninggalkan keretanya di depan Maybank di Bangsar Baru.

Ketua Polis Bahagian Brickfields Shahrul Othman Mansor memberitahu NST yang polis menemui tiga topi kaledar motorsikal, kayu sepanjang semeter, sebilah pisau, kayu pendek dan jaket dengan tompokan darah di dalam kereta.

Polis turut merampas dua buah kereta, sebuah Toyota Vellfire dan Perodua Myvi.

Salah seorang lelaki yang ditahan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas dia cedera dalam pergaduhan itu.

Kemudian pada waktu tengahari hari ini, polis menembak mati empat perompak selepas mereka melakukan rompakan.

Polis merampas sejumlah wang dalam Honda Civic yang digunakan perompak itu, lapor Berita Harian. – 11 Mei, 2017


Sign up or sign in here to comment.


Comments