Umno hilang keyakinan dan harapan rakyat, kata veteran parti


Nabihah Hamid

Umno, parti Melayu terbesar di negara ini menyambut ulang tahun ke-71 dengan perhimpunan gilang-gemilang di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Mei, 2017.

SELEPAS tujuh dekad menerajui negara, Umno tidak lagi mewakili aspirasi rakyat yang sebahagian besarnya sudah hilang keyakinan terhadap parti itu.

“Umno sekarang kehilangan roh, identiti dan kejatian diri dan tidak lagi mewakili inspirasi rakyat,” kata veteran Umno Zainudin Maidin.

Bekas ketua pengarang Utusan Melayu itu berkata parti terbesar Melayu itu gagal mentadbir Malaysia terutamanya dalam menyelesaikan masalah ekonomi.

“Sebagai wartawan, saya meliputi era Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi dan inilah era Umno yang terburuk dengan krisis rakyat kehilangan keyakinan, keruncingan ekonomi dan ketidakstabilan politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Zainudin yang juga bekas menteri penerangan berkata beliau kecewa kerana kehilangan keyakinan bukan setakat pada pemimpin saja, tetapi terhadap parti itu sendiri.

“Orang Melayu pernah hilang keyakinan pada pimpinan Tunku (Abdul Rahman) tetapi tidak pernah hilang keyakinan pada Umno,” katanya.

Bekas ketua Wanita Selangor Rakibah Abdul Manap berkata beliau kecewa kerana Umno tidak lagi dipandang tinggi masyarakat.

“Umno perlu perkukuh strategi untuk terus mentadbir negara selain tidak memberi ruang kepada pembangkang menang dalam pilihan raya.

“Kita sudah pecah lima (PAS, PKR, Umno, Bersatu, Amanah). Parti lain bukan kuat sangat, cuma Umno ada ruang yang boleh dipertikaikan.

“Dulu kita megah dan bangga pakai seragam Umno. Orang lain, pembangkang takut dengan kita tetapi sekarang tidak. Umno diperlekehkan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Selepas lebih tiga dekad bersama dengan Umno, Rakibah berkata beliau kecewa tokoh pemimpin seperti Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin tidak lagi bersama parti itu. 

“Mereka orang yang pernah saya sayang, sanjung. Saya tidak faham mengapa jadi macam itu (keluar parti). Kalau hendak tegur cara berhemah.

“Kalau pemimpin sekarang tak betul panggil macam anak dan beri nasihat elok-elok. Itulah dia ada rasa tanggungjawab dan kasih sayang antara satu sama lain. Sekarang silap sikit sudah keluar parti.

“Saya pun pernah dihentak dalam parti tetapi saya pandang Umno secara keseluruhannya. Umno bukan hak individu,” katanya.

Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri itu kembali aktif tahun lalu dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Muhyiddin.

Bekas menteri besar Kedah Sanusi Junid yang mengikut jejak langkah Dr Mahathir untuk keluar Umno menyifatkan parti itu tidak lagi wujud.

Katanya, matlamat Umno tidak lagi sama malah mendakwa pemimpinnya kini mementingkan wang ringgit semata-mata.

“Saya sebenarnya tidak berminat untuk berfikir soal Umno yang saya pernah jadi ahli dulu kerana saya anggap ia tidak wujud lagi.

“Parti dengan nama sama tetapi tiada roh dan pemikiran Umno yang dulu.

“Pemimpin Umno yang saya kenal dan hormati tidak pernah berkiblat kepada wang dan mengabdikan diri kepada selain Allah,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata Umno yang sebenar tidak akan rela menyusahkan bangsanya dan tidak sanggup memalukan negaranya.

“Pemimpin Umno yang saya kenal, walau apa juga kelemahannya, tidak pernah takut memihak kepada kebenaran dan tidak takut berdepan apa jua soalan yang diketengahkan padanya,” katanya. – 11 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments