DALAM kalangan pengganas IS di Syria, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi menjadi satu nama besar untuk dikenang, tetapi keluarga dan rakannya di sini lebih berharap jika kisah itu terkubur bersama jasadnya.
Penduduk di sebuah kampung di Melaka di mana dia membesar tidak berhasrat untuk mengadakan kenduri tahlil pun untuk Wanndy, sementara adiknya memberitahu The Malaysian Insight keluarganya tidak bercadang membawa jenazahnya pulang ke Malaysia.
Kakaknya, Nur Diana berkata dia tidak terkejut apabila ahli keluarga memaklumkan yang Wanndy terbunuh dalam satu serangan dron di Syria bulan lalu.
Dia tahu harinya akan tiba juga, sebaik saja dia tahu Wanndy ke Syria untuk menyertai IS. Keputusan Wanndy untuk menyertai pengganas amat mengejutkan kakaknya dan ahli keluarga lain.
Dia tidak menunjukkan tanda terpengaruh dengan propaganda IS.
Diana berkata Wanndy memang suka menyendiri sejak dari kecil dan menghabiskan kebanyakan masanya berkurung dalam bilik.
“Tidak ada yang berbeza dengan sikapnya sebelum dia berlepas ke Syria. Kami tidak tahu pun dia hendak ke Syria. Dia tidak pernah sekali pun cakap apa-apa berkaitan perkara itu,” katanya.
Wanndy, yang sudah kematian ibu bapanya, menjadi pemegang peranan utama dalam merekrut rakyat Malaysia untuk organisasi IS, dan bertanggungjawab menyediakan laluan selamat ke Syria untuk rekrut baharu.
Dia dikenal pasti sebagai individu di sebalik video penggal kepala IS pada 20155, dan juga dipercayai bertanggungjawab merancang serangan di beberapa tempat tumpuan umum di Malaysia termasuk rumah ibadat dan pusat hiburan.
Bapa Wanndy meninggal dunia pada 2000 kerana serangan jantung sementara ibunya meninggal pada 2013 pada usia 50 tahun kerana leukemia. Sejak itu, kehidupannya dilaporkan menjadi semakin sederhana.
Menurut laporan risikan, Wanndy adalah salah seorang daripada sekurang-kurangnya 56 lelaki dan wanita Malaysia yang berjuang untuk IS.
Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Wanndu tertarik untuk mati syahid selepas dia membaca mengenai peperangan Syria di Facebook.
“Ia mencetuskan rasa ingin tahunya dan menyebabkan dia membuat kajian lanjut dan jadi tertarik kepada hadis dan terus mengkaji lagi,” katanya.
Wanndy juga banyak melayari laman web dan laman Facebook berkaitan tokoh salafi jihadi di luar negara.
“Dia sangat terpengaruh dengan ajaran Ibnu Taimiah,” kata Ayub merujuk kepada ahli teologi Muslim kontroversi pada zaman pertengahan, yang antara lain mengeluarkan fatwa membenarkan jihad terhadap umat Islam lain.
“Selepas berkawan dengan mereka yang berkongsi berita kesengsaraan umat Islam di Syria, Wanndy rasa semakin bersemangat untuk berjuang demi Islam.
“Dari situ dia membantu mendapatkan laluan bagi seorang wanita Malaysia ke Syria yang hendak berkahwin dengan rakyat Malaysia yang juga ahli IS di sana, dan ketika wanita itu ditahan, Wanndy lari ke Pulau Pinang dan di situ dia bertemu isterinya Mahmudah,” kata Ayub.
Katanya, pada masa itu, Wanndy sudah pun buat keputusan untuk menyertai kumpulan IS, dan pada 2014 dia dan isterinya pergi ke Syria.
Ayub berkata beliau percaya sejarah silam Wanndy yang kucar-kacir juga menyebabkan dia sangat terdorong untuk ke Syria.
“Dia terbabit dengan aktiviti sosial yang tidak sihat menyebabkan dia mahu bertaubat. Seruan jihad di Syria yang menjanjikan seseorang itu akan mati syahid dan menjamin laluan ke syurga, menarik hatinya. Dia mahu mencuci dosanya,” kata Ayub.
Diana berkata dia diberitahu mengenai kematian Wanndy pada hari sama adiknya itu meninggal dunia, oleh suaminya dan adiknya.
“Orang skeptikal sama ada dia betul-betul mati atau tidak. Saya tidak tahu. Tapi saya sedih. Walau apa pun yang berlaku dia masih darah daging saya,” kata Diana.
Diana berkata dia tidak bercadang membawa pulang jenazah Wanndy ke Malaysia, menambah adik iparnya yang sedang mengandung anak ketiga tidak menunjukkan seperti mahu pulang ke tanah air dari Syria.
“Mereka berdua sudah lama buat keputusan, mereka hendak hidup dan mati di sana,” kata Diana.
Diana berharap dengan kematian Wanndy, masyarakat berhenti menghakiminya dan biarlah segala perlakuannya diadili oleh Tuhan saja.
“Baik atau buruk dia tetap adik saya. Saya sedih tetapi saya juga lega tidak ada lagi cakap-cakap fasal dia.
“Dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Tapi bagi penduduk Kampung Bukit Tambun, Durian Tunggal, Melaka, agak sukar untuk memaafkan perbuatan itu.
Wanndy dan keluarganya berpindah keluar dari kampung itu selepas kematian ibu bapa mereka tetapi rumah teres merah yang pernah didiaminya tetap ada di situ, menjadi kenangan yang mahu dilupakan penduduk kampung.
Mohd Dian Ismail, 69, ahli jawatankuasa surau kampung itu memberitahu Bernama mereka tidak ada rancangan mengadakan tahlil untuk Wanndy.
“Dia cemar nama baik kampung ini, jadi kenapa kami perlu kisah? Saya harap apa yang berlaku padanya jadi pengajaran untuk penduduk kampung dan masyarakat umum, jangan ikut IS kerana jelas perjuangannya salah,” katanya. – 14 Mei, 2017.
Comments