HANYA seorang daripada tiga rakyat Malaysia mahu PAS bertanding sendirian, menurut kajian dijalankan Biro Dasar dan Strategi Bersatu.
Kaji selidik itu menunjukkan 29.5% daripada 2,881 responden ingin parti Islam itu bergerak sendiri tanpa bergabung dengan parti lain.
Ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu Dr Rais Hussin berkata, tujuan kajian ini adalah untuk bertanya kepada peserta mengenai siapa yang patut PAS pilih untuk bekerjasama bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Kaji selidik itu juga menunjukkan 29.5% mahu PAS bekerjasama dengan Umno, manakala 21.1% mengatakan PAS perlu menyertai kem Dr Mahathir Mohamad.”
Bagaimanapun, hanya 14.8% merasakan PAS perlu berdepan pilihan raya umum akan datang bersama Pakatan Harapan (PH).
Jumlah yang sama juga diperoleh ketika ditanya sama ada PAS perlu meletakkan lebih ramai ulama sebagai calon PRU14 atau jika parti itu perlu memasukkan pelaksanaan hudud dalam manifesto parti – 38.4% ingin lebih ramai ulama manakala 35.2% mahu menyaksikan hudud dalam manifesto PAS.
PAS juga muncul sebagai parti politik lebih popular di kalangan responden.
Menurut kaji selidik itu, 44.4% berpihak kepada PAS berbanding 36.2% untuk Barisan Nasional (BN), dan 25.9% PKR.
Bagaimanapun, kaji selidik yang dilakukan pada Julai hingga Ogos 2016 ini, tidak mengambil kira perkembangan baru-baru ini dalam PAS termasuk usaha RUU355 dan perpisahan dengan PKR.
Kaji selidik “Apa yang rakyat Malaysia mahu” berdasarkan 23 kumpulan fokus bagi mengenal pasti isu berkaitan rakyat Malaysia. Daripada 162 peserta, Biro Dasar dan Strategi Bersatu memformulasasikan soalannya.
Ia dijalankan secara bersemuka dengan 2,881 rakyat Malaysia di lebih 30 kawasan pilihan raya. Responden terdiri daripada 52.2% lelaki dan 47.8% wanita bersuai lebih 21 tahun.
Pecahan adalah 23.1% responden dari bandar besar, bandar (49.8%), pendalaman (19.8%) dan penempatan seperti Felda (7.2%).
Profil kaum adalah 67.6% Melayu, Cina (23%), India (5.6%) dan Sabah dan Sarawak (3.7%).
Tahap pendidikan pula, 25.4% mempunyai ijazah, diploma dan sijil (35.2%), dan SPM atau kelayakan lebih rendah (39.4%).
Kajian ini dijalankan antara Julai dan Ogos 2016 sebelum Bersatu ditubuhkan. – 10 Mei, 2017.
Comments