SPRM tahan seorang lagi kontraktor terlibat kes zakat Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

SPRM menahan empat pegawai Zakat Pulau Pinang dan tujuh kontraktor yang terbabit dalam tuduhan menyeleweng wang zat bernilai jutaan ringgit di rumah dan pejabat mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 9 Mei, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi kontraktor berhubung kes rasuah melibatkan pegawai Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Kontraktor wanita berusia 42 tahun itu ditahan di Pulau Pinang pada jam 8 malam semalam di pejabat SPRM negeri, kata Pengarah Abdul Aziz Aban.

“Kontraktor itu masih direman untuk siasatan selama enam hari bermula hari ini,” katanya.

Ini adalah penangkapan ke-12 sejak SPRM mengheret ketua pegawai eksekutif (CEO) ZPP, tiga pegawai lain daripada agensi kerajaan dan tujuh kontraktor semalam.

Kesemua 11 individu ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam. Reman berakhir untuk semua 12 tahanan pada Isnin depan.

Aziz berkata SPRM akan mengheret lebih banyak pihak, kontraktor yang mempunyai kaitan projek dengan ZPP bagi membantu siasatan.

Beliau berkata SPRM juga akan bercakap dengan pihak pengurusan ZPP dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Aziz berkata semalam, siasatan awal menunjukkan individu didakwa menyalahgunakan dana bernilai jutaan ringgit dengan menganjurkan program sebelum membahagikan keuntungan.

Beliau juga berkata SPRM percaya CEO turut menerima barangan berharga, wang, cek daripada kontraktor dan pembekal sebagai balasan kepada pemberian projek tertentu kepada mereka.

Beliau juga berkata terdapat dakwaan lelaki itu juga meluluskan biasiswa anaknya tanpa kelulusan MAIPP.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan Seksyen 17 (b) bersama Seksyen 23 Akta SPRM kerana menerima dan memberi suapan dan menggunakan kedudukannya untuk suapan.

Awal hari ini, Exco Hal Ehwal Agama Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassim memberi jaminan kepada umat Islam yang dana zakat berada dalam keadaan selamat.

Selain tangkapan itu, beliau berkata ZPP tidak pernah mengalami kes penyelewengan.

Beliau berkata akaun agensi diaudit akauntan bebas dan juruaudit setiap tahun sejak 2008.

Presiden MAIPP dan Pengerusi Lembaga ZPP Mohd Salleh Man berkata awal hari ini umat Islam tidak perlu bimbang.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil jika terbukti pegawai melakukan kesalahan itu. – 10 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments