Duit jadi kebimbangan utama majoriti rakyat Malaysia


Chan Kok Leong Noel Achariam

APA yang paling merisaukan kebanyakan rakyat Malaysia? Duit.

Itulah yang dikatakan 93.9% daripada responden melalui tinjauan kaji selidik Biro Bahagian Dasar dan Strategi Bersatu.

Sembilan daripada 10 rakyat Malaysia yang disoal menyenaraikan kenaikan kos barangan keperluan harian dan harga rumah menjadi isu paling membimbangkan.

Isu lain yang membimbangkan rakyat Malaysia adalah rasuah, jenayah dan gejala sosial, menurut kaji selidik “Apa yang rakyat Malaysia mahu?” yang dijalankan Bersatu antara Julai hingga Ogos 2016, walaupun sebelum parti itu ditubuhkan.

Kajian ini dijalankan dengan mengenal pasti 23 kumpulan fokus untuk membincangkan isu berkaitan rakyat setiap hari. Daripada 162 peserta, Biro Polisi dan Strategi Bersatu merumuskan soal selidik itu.

Kajian dijalankan melalui temu bual bersemuka dengan 2,881 rakyat daripada lebih 30 kawasan pilihan raya. Responden terdiri 52.2% lelaki dan 47.8% wanita yang berumur lebih 21 tahun.

Sebanyak 23.1% responden dari kawasan bandar besar, 49.8% kawasan bandar, 19.8% daripada kawasan pedalaman dan 7.2% penempatan seperti Felda.

Sebanyak 67.6% responden ialah Melayu, Cina (23%), India (5.6%) dan Sabah dan Sarawak (3.7%).

Daripada segi tahap pendidikan, 25.4% responden mempunyai ijazah, diploma dan sijil (35.2%) sementara 39.4% berkelulusan SPM atau lebih rendah.

Antara yang mendapat perhatian dalam senarai kebimbangan mereka adalah tahap pendapatan yang tidak mencukupi, peningkatan bilangan pekerja asing, penyalahgunaan dadah dan alkohol, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kekurangan peluang pekerjaan.

Antara yang ditinjau, kebanyakan penduduk Bumiputera dan Melayu di Sabah dan Sarawak mengambil berat tentang peluang pekerjaan berbanding kaum Cina.

Bagi menangani masalah kenaikan kos, 93.9% berkata mereka mahu kerajaan mengawal harga barang keperluan manakala 82.4% menggesa pemansuhan GST.

Kajian ini juga menunjukkan lebih ramai peneroka Felda mahu GST dimansuhkan berbanding mereka di lokasi lain.

Dapatan kajian juga menunjukkan 91.7% mahu lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda dan 90.8% menggesa tahap pendapatan lebih tinggi bagi pekerja berpendapatan rendah.

Mengenai isu rasuah, 92% mahu rasuah dihapuskan di kalangan penjawat awam manakala 91.7% menyatakan perkara sama dengan agensi penguatkuasaan.

Satu lagi kebimbangan utama bagi lebih 90% rakyat Malaysia adalah kualiti pendidikan di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Antara isu ditekankan ialah pemansuhan yuran pendidikan (77.7%), perkhidmatan bas percuma (69.8%) dan sekolah aliran Inggeris (62.9%). – 10 Mei, 2017.


 

 


Sign up or sign in here to comment.


Comments