Hanya 50% rakyat Malaysia fikir mereka perlu tanggung kemelut 1MDB


Chan Kok Leong Noel Achariam

HANYA seorang daripada dua rakyat Malaysia percaya hutang yang ditanggung syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah satu masalah, kata kaji selidik yang dijalankan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu).

Kira-kira 50.8% daripada 2,881 responden yang menjalani kaji selidik itu percaya hutang 1MDB akan dibayar oleh pembayar cukai sementara 38.1% lagi berkata tidak pasti adakah mereka yang terpaksa menanggung hutang itu.

Ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu, Dr Rais Hussin berkata hanya separuh yang berfikir hutang 1MDB akan ditanggung oleh mereka.

“Sebahagian besar responden iaitu 38.1% mengatakan mereka tidak tahu. Alasan tidak tahu adalah kerana isu 1MDB tidak disampaikan kepada mereka semasa kami melakukan kaji selidik itu tahun lepas.

“Namun, penjelasan kerajaan mengenai 1MDB, hanya 15.4% mempercayai, manakala 43% tidak pasti dan 41% tidak mempercayai penjelasan itu.”

Kaji selidik yang dijalankan bagi tempoh Jun hingga Julai 2016 itu juga mendapati hanya 29% rakyat Malaysia mempercayai kisah panjang 1MDB di media sosial dan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bank peribadi perdana menteri adalah benar.

Sementara 54.3% lagi tidak pasti manakala selebihnya tidak percaya langsung.

Selain itu, 22.7% responden percaya isu 1MDB dimanipulasikan oleh media asing sementara 50.9% tidak pasti.

Tetapi 39.5% daripada kaji selidik itu percaya kritikan Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Najib Razak mengenai isu 1MDB, adalah benar.

Rais berkata kaji selidik itu juga menunjukkan hanya 15% percaya RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri.

“Mereka yang tidak percaya itu adalah 33.8% dan yang langsung tidak mempercayainya 32%. Ini adalah kajian mengenai isu politik sosial yang dijalankan.

Kaji selidik “Apa yang rakyat Malaysia mahu” berdasarkan 23 kumpulan fokus yang mengenal pasti isu berkaitan rakyat Malaysia. Daripada 162 peserta, Biro Dasar dan Strategi memformulasasikan soalan kaji selidik.

Kaji selidik itu kemudian dijalankan menggunakan kaedah temu bual secara berdepan dengan 2,881 rakyat Malaysia di lebih 30 kawasan pilihan raya.

Responden terdiri daripada 52.2% lelaki dan 47.8% wanita berusia 21 tahun ke atas.

Sebanyak 23.1% responden dari kawasan bandar besar, 49.8% dari kawasan bandar, 19.8% dari pedalaman dan 7.2% dari kawasan penempatan seperti Felda.

Sebanyak 67.6% responden ialah Melayu, Cina (23%), India (5.6%) dan Sabah dan Sarawak (3.7%).

Daripada segi tahap pendidikan, 25.4% responden mempunyai ijazah, diploma dan sijil (35.2%) sementara 39.4% berkelulusan SPM atau lebih rendah.

Kaji selidik itu dijalankan antara Julai hingga Ogos 2016, sebelum Bersatu ditubuhkan. – 10 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments