Salah guna wang, pegawai zakat Pulau Pinang, kontraktor direman


SPRM menahan empat pegawai Pusat Zakat Pulau Pinang dan tujuh kontraktor yang terbabit dalam tuduhan menyeleweng wang zat bernilai jutaan ringgit di rumah dan pejabat mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 9 Mei, 2017.

EMPAT pegawai tinggi Pusat Zakat Pulau Pinang ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang zakat bernilai jutaan ringgit.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan semua suspek di pejabat mereka di Bandar Perda, Bukit Mertajam pagi ini sebelum dibawa ke mahkamah di George Town untuk mendapatkan perintah reman.

Antara suspek yang ditahan ialah seorang Datuk berumur 50 tahun.

SPRM turut menahan tujuh kontraktor yang terbabit dalam tuduhan itu di rumah dan pejabat mereka, lapor Malay Mail Online.

Pesuruhjaya SPRM Pulau Pinang Abdul Aziz Aban berkata siasatan awal menunjukkan 11 individu terbabit menyalahgunakan wang zakat dengan menganjurkan program menggunakan wang itu sebelum membahagikan keuntungan berkenaan.

Katanya, SPRM percaya Datuk berkenaan yang memegang jawatan tinggi dalam agensi itu sejak 1995, didakwa meluluskan biasiswa tahunan untuk anaknya tanpa kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

“Dia juga dituduh menerima barangan berniaga, wang, cek daripada kontraktor dan pembekal sebagai pulangan kerana memberikan projek tertentu kepada mereka.

“Berhubung perkara itu, kami menyita dua jam tangan mewah dan sebuah iPhone,” katanya, menambah yang akaun bank semua 11 lelaki terbabit dibekukan.

Aziz berkata 11 individu itu yang ditahan dalam satu operasi khas, Ops Miskin disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 17(b) bersama Seksyen 23 Akta SPRM kerana menerima dan memberi rasuah dan menggunakan kedudukan untuk rasuah.

Jika disabitkan bersalah, mereka boleh dipenjarakan hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai rasuah bagi setiap kesalahan. – 9 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments