PAKATAN Harapan (PH) hari ini mengumumkan rangka kerja dasar bersama untuk menarik pengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang tetapi mengakui belum lagi mencapai kata sepakat siapa yang akan menjadi perdana menteri interim bagi gabungan itu.
Ketua Sekretariat PH Saifuddin Abdullah mengelak ketika ditanya soalan berhubung calon perdana menteri pada satu sidang akhbar petang ini.
“Terima kasih atas keprihatinan anda. Isu itu masih dibincangkan,” katanya kepada wartawan.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution yang juga hadir pada sidang akhbar itu berkata siapa pun juga calonnya, individu itu sudah pasti lebih baik berbanding perdana menteri sekarang.
Calon perdana menteri daripada gabungan pembangkang masih belum pasti antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bagaimanapun, peguam terkemuka Zaid Ibrahim dalam blognya hari ini mencadangkan PH menamakan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad sebagai PM interim.
Zaid berkata bagi membolehkan PH mempunyai peluang kemenangan realistik pada PRU14, hanya ada satu peluang kecil iaitu menjadikan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.
“Untuk berbuat demikian, ahli Pakatan perlu telan ego mereka, dan memujuk Dr Mahathir untuk jadi perdana menteri bagi kerajaan baharu itu,” katanya.
Saifuddin berkata mereka akan melihat cadangan Zaid itu.
PH baru-baru ini mendedahkan senarai barisan pemimpin mereka dan menamakan Dr Mahathir sebagai penasihat, tetapi tanpa kuasa eksekutif.
Bercakap mengenai rangka kerja dasar bersama, Saifuddin berkata PH kini bersedia untuk pembabitan formal dengan semua pihak berkepentingan.
“Kita pernah buat sebelum ini tetapi tidak secara rasmi. Kini kita bersedia untuk mendekati persatuan masyarakat sivil, ahli akademi, badan pemikir dan sesiapa yang mahu terbabit dengan kami,” katanya.
Beliau berkata sekretariat PH sedang mengumpul idea daripada laporan antarabangsa dan NGO untuk menambah nilai kepada rangka kerja itu untuk bersedia berdepan dengan PRU akan datang.
“Ada banyak isu yang perlu diselesaikan. Walaupun ada kumpulan yang bimbang mengenai 1MDB, tetapi majoriti risaukan tentang kos sara hidup,” katanya. – 9 Mei, 2017.
Comments