SPR pamer senarai 326,905 permohonan daftar pemilih mulai esok


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mula mempamerkan senarai permohonan pendaftaran pemilih bagi tempoh suku tahun pertama selama 14 hari bermula esok di 960 tempat di seluruh negara.

Setiausaha SPR, Abdul Ghani Salleh berkata pihaknya menerima 326, 905 permohonan pendaftaran bagi suku tahun pertama dengan 242,691 pendaftar baru dan 84,214 melibatkan pertukaran alamat bahagian pilihan raya, sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata, pemilih boleh membuat bantahan ke atas kemasukan nama individu lain dengan mengisi “Borang C” seperti terdapat dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT).

“Semasa tempoh pameran DPT itu, SPR juga mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar permilih.

“Antara asas SPR mengeluarkan nama daripada daftar pemilih adalah kerana mereka didapati tidak berhak terus kekal dalam daftar pemilih atas sebab tertentu seperti meninggal dunia atau lucut hak warganegara,” katanya.

Bagaimanapun menurut Ghani, pembantah tidak dibenarkan mengemukakan bantahan melebihi 20 nama mengikut sub peraturan 15(3) Peraturan Pilihan Raya (Pendaftar Pemilih) 2002. – 9 Mei, 2017.




 


Sign up or sign in here to comment.


Comments