Saya serah anak kepada polis, kata ibu remaja terlibat Geng 24


Muzliza Mustafa

Sebahagian remaja yang didakwa di Mahkamah Majistret Klang semalam kerana didakwa menyertai perhimpunan haram. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Mei, 2017.

SELEPAS diberitahu yang polis mencari anaknya kerana didakwa terlibat perhimpunan haram di hadapan sebuah sekolah di Klang, sepasang suami isteri segera membawa anak bongsu mereka ke Balai Polis Klang bagi membantu siasatan.

“Kami menyerahkan kepada polis kerana tidak tahu apa yang berlaku. Ia juga kerana kami rakyat Malaysia yang mematuhi undang-undang,” kata ahli perniagaan wanita berusia 50 tahun itu.

Dia menyangka polis hanya memerlukan beberapa jam untuk merekodkan kenyataan anaknya, tetapi akhirnya dia ditahan reman selama empat hari.

Dia dan suami yang merupakan bekas tentera udara, ke balai polis setiap hari walaupun tidak dibenarkan bertemu anak mereka. Kejadian itu ternyata menjadi ujian berat kepadanya sebagai seorang ibu.

“Apabila dia berada di lokap, saya tidak menghidupkan lampu di rumah kami selama dua hari. Saya tak nampak keperluan menghidupkan lampu kerana tanpa anak saya, semuanya tidak bermakna,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Anak lelakinya yang berusia 18 tahun adalah antara 52 remaja yang didakwa semalam mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan haram. Kesemua tertuduh berusia antara 15 dan 18 tahun.

Tiga daripada mereka mengaku bersalah manakala 49 yang lain, termasuk anak ahli perniagaan itu, mengaku tidak bersalah.

Mahkamah menetapkan tarikh 6 Julai depan untuk menjatuhkan hukuman dan sebutan semula kes.

Semua tertuduh ditahan selepas dua klip video pendek menjadi tular di media sosial yang menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal membuat aksi dan kekecohan di hadapan sebuah sekolah di Klang semasa “sambutan” dengan memotong kek tertulis angka “24” di atasnya.

Angka “24” adalah pengenalan bagi Geng 24, kumpulan kongsi gelap terkenal. Pelajar itu menyambut “ulang tahun” kumpulan yang jatuh pada 24 April.

Bagaimanapun, memandangkan 24 April cuti umum, semua pelajar itu memutuskan mengadakan sambutan tersebut pada 20 April di hadapan sekolah mereka. Mereka turut menyalakan mercun dan menyebabkan gangguan trafik.

Bercakap mengenai penglibatan anaknya dalam kejadian itu, ibu tersebut berkata: “Saya percaya ia berlaku apabila baru-baru ini dia bercampur dengan mereka yang tidak sepatutnya.

“Ia juga mungkin disebabkan kumpulan Whatsapp yang disertainya,” katanya.

Dia berkata, anak bongsu daripada dua beradik lelaki itu pelajar sederhana yang mendapat 5A dalam PT3, sambil menambah tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepada keluarga.

Anaknya yang dibebaskan dengan jaminan, ditarik segala keistimewaan termasuk akses kepada telefon bimbit. Dia juga dipindahkan ke sekolah lain.

“Mereka berkata ibu bapa perlu mengawasi anak. Tetapi saya tidak boleh mengawalnya sepanjang masa. Saya melakukan apa yang boleh sebagai ibu bapa dan berharap dia belajar sesuatu daripada episod gelap ini,” katanya.

Katanya, anak lelaki berusia berusia 18 tahun itu pernah memberitahu ingin mengikut jejak langkah ayahnya berkhidmat dalam tentera udara dan turut meneliti kursus ditawarkan di Universiti Pertahanan.

“Kami memberinya galakan. Kami akan menyokong dan selalu memberitahunya, hanya pendidikan yang kami boleh berikan kepadanya,” kata ahli perniagaan itu.

Katanya, anaknya tidak dapat tidur selama tiga hari dan menangis tanpa henti sejak kejadian itu.

“Sekarang pun, ke mana sahaja pergi, dia sentiasa mahu saya berada di sampingnya. Dia mungkin fikir ia hanya untuk suka-suka dan tidak pernah menyedari ia boleh menjadi seserius ini,” katanya.

Polis bertindak pantas selepas dua video menunjukkan pelajar menyebabkan huru-hara di hadapan sekolah menjadi tular.

Mereka bertindak tegas terhadap Geng 24 di Selangor, berusaha mengenal pasti semua ahlinya termasuk pelajar dan pemetaan rangkaian geng di sekolah di negeri ini, melalui pasukan perisik dan Cawangan Khas. – 9 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments