Pilihan raya awal di Selangor, lenyapkan spekulasi rampasan kuasa


Sheridan Mahavera

Pakar Perlembagaan Abdul Aziz Bari mencadangkan Selangor memperoleh mandat baru dengan pengukuhan pentadbiran bagi memadamkan semua keraguan, terutama selepas PAS berkata ia mahu menamatkan hubungan dengan PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2017.

MENTERI Besar Mohamad Azmin Ali perlu mengadakan pilihan raya awal di Selangor, kata pakar undang-undang Perlembagaan.

Dengan berbuat demikian, semua khabar mengenai pemberontakan terhadap kerajaannya boleh dilenyapkan dan sekali gus menyelesaikan masalah perkongsian kuasa dengan PAS yang tidak mempunyai hubungan rasmi dengan PKR dan DAP.

Aziz Bari berkata mandat baru daripada pengundi di negeri terkaya di Malaysia itu akan menamatkan ketidaktentuan yang muncul selepas PAS membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PKR pada muktamar parti itu yang baru berakhir.

Keputusan ini merumitkan lagi keadaan penyusunan kuasa di Selangor di mana wakil rakyat daripada PAS, PKR dan DAP membentuk kerajaan negeri tetapi PAS tidak mempunyai hubungan rasmi dengan DAP sejak 2015.

Memandangkan PAS sudah mengambil keputusan ia mahu menamatkan pakatan dengan PKR, Aziz berkata, beliau melihat hanya satu cara bagi menamatkan semua ketidakpastian itu.

“Langkah terbaik adalah jika menteri besar meminta Sultan membubarkan Dewan Undangan Negeri sekarang, kita sudah mendapat mandat empat tahun.

“Kerajaan negeri perlukan mandat baru dengan pentadbiran kukuh yang akan memadamkan semua keraguan, terutama selepas PAS berkata ia mahu menamatkan hubungan dengan PKR,” kata Aziz kepada The Malaysian Insight.

Tetapi tidak semua orang percaya wakil PAS akan berpaling arah dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Bagi menukarkan kerajaan negeri, semua 13 Adun PAS perlu melompat parti untuk menyertai 11 wakil BN. Tiga Adun PH Selangor dan dua wakil bebas juga perlu mengubah kesetiaan bagi merealisasikannya.

Penganalisis politik Mohamad Hisomuddin Bakar daripada Pusat Ilham pula berkata, sangat mustahil bagi bagi Adun PAS bertukar pihak.

Ini kerana PAS – melalui keahliannya dalam kerajaan Selangor – akan hilang kira-kira 5,000 jawatan dilantik di dalam peringkat majlis tempatan dan jawatankuasa kampung.

“Jika PAS menarik diri daripada kerajaan Selangor, mereka juga akan hilang kawalan ke atas rangkaian masjid dan surau di seluruh negeri yang mereka gunakan untuk menyebarkan agenda parti,” kata Hisomuddin, pakar politik PAS dan Melayu.

Hisomuddin juga berpendapat, PAS tidak akan menamatkan hubungan dengan PKR sebelum tamat tempoh mandat kerajaan Selangor pada Mei tahun depan.

Walaupun ahli PAS menginginkannya, keputusan muktamad terletak kepada Majlis Syura.

“Terdapat dua senario. Sama ada Majlis Syura memberi lampu hijau untuk menamatkan hubungan itu sekarang, atau berkata ia akan terus bekerjasama dengan PKR sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi Pilihan Raya Umum ke-14. Saya percaya kemungkinan kepada pilihan kedua.”

Hisomuddin bersetuju dengan Aziz situasi yang dalam pentadbiran Selangor kini bermasalah memandangkan PAS tidak boleh bekerjasama dengan DAP.

“Kami berada dalam situasi di mana parti politik yang dipilih pengundi tidak boleh menterjemahkan janji mereka kepada dasar awam kerana tidak boleh bekerjasama.” – 9 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments