Projek Kiara tetap diteruskan, tidak ganggu taman, kata Ku Nan


Persatuan penduduk TTDI sudah mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang projek diteruskan. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Mei, 2017.

Kuala Lumpur tidak akan menceroboh taman rekreasi Taman Kiara Rimba walaupun ada projek perumahan di situ, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor kepada penduduk yang membantah pembangunan itu.

Ratusan penduduk Taman Tun Dr Ismail, kawasan pinggir bandar utama ibu kota itu membantah rancangan pembangunan di situ yang melibatkan perumahan untuk bekas pekerja estet, bangunan pencakar langit dan lebuhraya.

“Apa yang hendak dikecohkan, kami tidak akan ceroboh taman rekreasi,” dia dipetik berkata demikian di Putrajaya hari ini.

Taman Rimba Kiara ialah salah satu kawasan hijau terbesar di ibu kota.

Tengku Adnan juga berkata yang mereka yang membantah projek itu diperalatkan pihak tertentu.

”Masalahnya ialah ada yang dicetuskan pembangkang. Kami tahu ada yang mengatakan yang kami menceroboh masuk Taman Rimba Kiara.

”Kami tidak akan menganggu taman itu kerana itu kawasan rekreasi dari rakyat. Jangan putar belitkan isu ini,” katanya lagi.

Tengku Adnan juga berkata yang 180 unit akan diberikan percuma kepada penduduk yang bekerja di estet di kawasan itu.

Jun lepas, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan pembangunan 29 buah blok kediaman mampu milik (350 unit), dan lapan blok apartmen mewah (42 hingga 54 tingkat dan 1,766 unit) di atas 4.86 hektar tanah di Taman Rimba Kiara, yang ditetapkan sebagai ruang terbuka awam di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.

Pada 18 Jun tahun lepas, penduduk melancarkan bantahan kepada projek itu.

Semalam, hampir 1,000 penduduk dan aktivis yang hadir dalam pertemuan anjuran “Save Taman Rimba Kiara” diberitahu yang persatuan penduduk Taman Tun Dr Ismail sudah mengambil tindakan undang-undang bagi menghentikan projek tersebut.

Penduduk berkata yang pembangunan itu bergelumang dengan kerahsiaan dan konflik kepentingan sejak mula lagi. – 8 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments