43 pelajar didakwa sertai perhimpunan haram, 3 mengaku bersalah


Muzliza Mustafa

Sebahagian pelajar yang didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini kerana didakwa menyertai perhimpunan haram. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Mei, 2017.

SERAMAI 43 pelajar daripada tujuh buah sekolah menengah di Klang, yang berhimpun di luar sebuah sekolah di sana lebih kurang tiga minggu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana menyertai perhimpunan haram.

Mereka adalah antara 52 belia yang didakwa. Tiga daripadanya berumur di bawah 18 tahun mengaku bersalah, manakala 49 lain mengaku tidak bersalah. Seorang tidak hadir di mahkamah.

Mereka didakwa terlibat perhimpunan haram yang dirakamkan dalam dua klip video tersebar di laman media sosial, menimbulkan kebimbangan kemungkinan gengterisme semakin berkembang di Bandar Diraja itu.

Majistret Nor Asma Ahmad menetapkan 6 Julai bagi hukuman tiga pelajar yang mengaku bersalah dan sebutan bagi yang lain.

Beliau juga meminta laporan tingkah laku tiga pelajar terbabit.

Daripada 49 yang lain, enam dikenakan pertuduhan kedua melakukan kesalahan yang sama pada masa dan lokasi berbeza di Klang.

Majistret memberikan setiap tertuduh ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM800 lagi setiap seorang dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua.

Kesemua tertuduh didakwa berumur di antara 15 hingga 18 tahun.

Ibu bapa tertuduh mengerumuni kompleks mahkamah seawal jam 8 pagi selepas dimaklumkan agar membawa anak masing-masing.

Peguam bela Gerard Lazarus berkata, ibu bapa pelajar yang diwakili terkejut selepas diberitahu perlu membawa anak mereka ke mahkamah hari ini.

Sebahagian ibu bapa memarahi wartawan ini kerana mendekati mereka, memintanya menjauhkan diri.

“Anak saya tidak bersalah. Mengapa awak di sini?” katanya.

Kekecohan di luar sekolah itu berlaku pada 22 April apabila pelajar menjalankan promosi terang-terangan geng mereka. Pelajar berpakaian seragam memegang sepanduk yang tertulis nombor “24”.

Seorang pegawai kanan polis berkata, perhimpunan itu amalan biasa Gang 24, yang menyambut 24 April setiap tahun sebagai “hari penting” mereka.

Bagaimanapun, memandangkan 24 April tahun ini cuti umum, mereka menyambutnya lebih awal iaitu 20 April. – 8 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments