SELEPAS dikecam hebat berkaitan tweet beliau terhadap Sultan Selangor, ahli DAP Zaid Ibrahim berkata beliau sebenarnya mempertahankan hak rakyat dalam berpolitik, bukannya mempertahankan Dr Mahathir Mohamad.
“Saya tak pertahankan Dr Mahathir macam yang ramai orang fikir. Yang saya maksudkan, secara mudah sistem politik kerajaan sebenarnya rakyat yang pilih dan tentukan hukuman dalam perkara ini. Ini termasuklah kekaguman terhadap personaliti politik.
“Rakyat yang menentukan sama ada pemimpin tertentu itu layak atau tidak jadi menteri besar atau siapa yang akan musnahkan negara ini,” tulis Zaid dalam blognya hari ini.
Minggu lepas, melalui tweet terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, Zaid berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”
Kenyataan tweet Zaid itu sebagai respon terhadap kenyataan Sultan yang bertitah, amarah Dr Mahathir itu akan “membakar negara.”
Sehubungan itu, Zaid dikecam hebat oleh penyokong dan perwakilan Umno di Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 minggu lepas.
Malah, Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos dan penyokongnya turut mengancam untuk menukul kepala Zaid. Jamal kemudiannya ditahan dan direman berhubung ancamannya itu.
Bagaimanapun, Jamal dibebaskan polis tengahari tadi.
Tambah Zaid, beliau menjangka akan dipanggil Bukit Aman bagi memberi keterangan mengenai tweet beliau itu, malah beliau turut beranggapan akan dikenakan tuduhan menghasut.
Tulisnya lagi, beliau menerima banyak sokongan orang ramai sambil menambah partinya, DAP, tidak menegur beliau pun mengenai perkara ini.
“Sesetengah orang BN dan kolumnis menaikkan isu itu sepanjang minggu. Saya tak dapat sebarang sokongan daripada politikus pembangkang kecuali sahabat saya Lim Lip Eng (Ahli Parlimen DAP Segambut).
“Saya tak salahkan pemimpin Pakatan (Harapan) yang senyap mengenai perkara ini. Di Malaysia, ada ‘black holes’ atau perkara taboo yang menakutkan politikus untuk campur tangan. Apatah lagi pilihan raya makin hampir. Saya faham benar mengenai ini,” katanya.
“Sekarang saya tahu saya ada ramai sahabat dan penyokong. Cuma saya kurang sokongan dari rakan-rakan politik sahaja. Ramai rakyat tak putus-putus bertanya khabar mengenai keselamatan saya dan keluarga,” katanya.
“Rakan saya dalam DAP tak tegus saya atau bercakap buruk mengenai isu kontroversi ini,” tambah Zaid.
“Mereka mungkin rasa tak selesa sebab saya. Saya faham kenapa sesetengah daripada mereka mahu elak dari terlibat dari masalah ini.
“Untuk itu, saya hargai mereka kerana beri peluang untuk saya luahkan mengenai perkara yang saya anggap sebagai penting ini,” kata bekas menteri undang-undang itu.
Tambah Zaid lagi, “Malaysia yang hebat hanya akan tercapai bila pemimpinnya tidak takut berhadapan dengan ‘black holes’ ini.” – 11 Disember, 2017.
Komen