PEMIMPIN kontroversi Umno, Jamal Md Yunos akan direman selama dua hari bagi membantu siasatan pihak polis terhadap tindakannya membakar kadbod gambar bekas menteri Zaid Ibrahim.
Peguamnya, Mohamad Imran Tamrin berkata ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu direman hari ini berikutan penahanannya malam tadi di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana provokasi, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Beliau bertindak membakar gambar Zaid selepas mendakwa ahli DAP itu menghina Sultan Selangor.
“Kami juga mahu polis mengambil tindakan terhadap Zaid di bawah Akta Hasutan kerana menghina Sultan Selangor,” kata Imran kepada The Malaysian Insight.
Sumber polis mengatakan yang Jamal ditahan atas kesalahan itu tidak lama selepas membuat laporan polis terhadap Zaid di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
Jamal mendakwa Zaid menerusi akaun Twitternya mempersoalkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengkritik bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkaitan kenyataannya tentang masyarakat Bugis.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada Jumaat memberitahu The Malaysian Insight yang polis sudah menerima laporan berhubung tindakan terbaru Jamal di Perhimpunan Agung Umno ke-71 pada Khamis dan Jumaat apabila membakar kadbod gambar Zaid dan mengugut untuk memecahkan kepala bekas menteri itu dengan tukul besi kerana komennya mengenai titah Sultan Selangor.
Susulan tindakan Jamal itu, Zaid meluahkan kebimbangan keselamatan dirinya dan keluarga menerusi akaun Twitternya dan “berharap ketua polis negara akan jaga keselamatan kami.”
Zaid sebelum ini menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor selepas memberitahu Sultan agar lebih berhati-hati mengkritik Dr Mahathir Mohamad.
Zaid menerusi akaun Twitternya sebelum ini mengatakan: “Sultan Selangor perlu berhati-hati dengan titah-titah baginda, tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar,” mengulas tentang wawancara Sultan dengan akhbar The Star apabila baginda bertitah yang “kemarahan Dr Mahathir boleh membakar seluruh negara.” – 10 Disember, 2017.
Komen