DUA peristiwa dalam masa dua minggu lalu menimbulkan persoalan keyakinan penilaian perdana menteri mengenai kemampuan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjelaskan hutangnya yang hampir RM50 bilion.
Keruntuhan projek Bandar Malaysia dan perjanjian timbang tara RM26.2 bilion dengan dana Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) bulan lepas adalah masalah terbaru dalam usaha Najib Razak menyelesaikan hutang dana negara itu, kata Financial Times (FT).
Akhbar itu menyatakan Najib mengumumkan dalam mesej Malam Tahun Baru yang “cabaran utama” 1MDB” sudah ditinggalkan.
“Dengan keruntuhan terbaru (projek harta) bagi cadangan penjualan, ‘rasionalisasi’ keseluruhan…dialu-alukan perdana menteri dan Kabinet menjelaskan semuanya,” akhbar harian kewangan itu memetik kenyataan Ahli Parlimen DAP Tony Pua.
Perjanjian Bandar Malaysia, bernilai RM7.42 bilion, dibatalkan selepas Beijing didakwa enggan membenarkan pelaburan, usaha sama dengan Iskandar Waterfront Holdings (IWH).
Bagaimanapun, ahli perniagaan Lim Kang Hoo dan rakannya di China enggan menerima perjanjian mereka membangunkan Bandar Malaysia dibatalkan kerana mereka gagal membuat bayaran berkala walaupun diberikan 12 kali penangguhan.
“Najib hilang sabar dan secara peribadi mengarahkan penamatan perjanjian itu,” kata sumber kepada FT.
Pihak lain yang mempertahankan Najib juga menegaskan pembeli Bandar Malaysia baru akan ditemui, berkata tanahnya di tapak lapangan terbang lama di Sungai Besi adalah kawasan penting terakhir hartanah utama di persekitaran bandar.
“Ia jelas perjanjian baru boleh membawa kepada harga jauh lebih tinggi bagi pembayar cukai – kerana nilai tanah itu meningkat dengan ketara – dan 100% pemilikan kerajaan dipelihara,” kata penasihat Najib sebagaimana dilaporkan.
“Tidak disangkal lagi, Bandar Malaysia akan diteruskan.” – 8 Mei, 2017.
Comments