HISBAH Centre For Reform (Hisbah) dan Persatuan Anak Felda Kebangsaan (Anak) menandatangani perjanjian persefahaman di Kuala Lumpur hari ini berikrar untuk bekerjasama bagi menyingkirkan Ahli Parlimen Pekan, Perdana Menteri Najib Razak.
Menerusi kempen itu, perwakilan Hisbah dan Anak akan bertemu dengan penduduk Pekan, terutama sekali di penempatan Felda, bagi mendedahkan korupsi dan salah urus dana Felda, kata Pengerusi Hisbah Ezam Mohamad Noor.
“Kami memilih Pekan sebagai tempat permulaan kerana Ahli Parlimennya, Najib Razak, bertanggungjawab terhadap Felda.
“Kawasan Pekan mempunyai banyak kawasan tanah dan peneroka Felda,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ezam menjelaskan yang Hisbah memilih untuk bekerjasama dengan Anak kerana rekod cemerlang dan komitmentnya dalam mendedahkan kes korupsi Felda.
Katanya lagi, kempen yang akan mereka laksanakan bakal mencetuskan perubahan dalam kawasan pilihan raya itu, yang dipegang Najib selama 40 tahun.
“Kami memilih Felda sebagai platform dan sasaran utama kerana Felda ialah institusi orang Melayu yang bergelumang dengan pelbagai skandal korupsi,” kata Ezam.
“Hisbah merasakan ada pemimpin yang terlibat dalam skandal korupsi cuba menggunakan isu perkauman dan agama untuk mengalihkan perhatian daripada salah laku mereka. Kerana itulah kami melancarkan kempen ini.”
Pengerusi Anak Mazlan Aliman memberitahu The Malaysian Insight yang Hisbah adalah rakan kerjasama dalam kempen ini kerana isu korupsi dan salah guna kuasa di Felda terlalu besar untuk Anak menanganinya sendirian.
“Konsisten dan pengalaman Ezam dalam melawan korupsi adalah sebab utama kita setuju bekerjasama.
“Sebagai permulaan, kami akan melakukan kempen ini di kawasan PM dan kami akan meneruskan ke kawasan Felda yang lain,” katanya, turut menambah yang kempen itu akan dilancarkan pada 21 Mei nanti.
Ezam, yang juga merupakan pengasas dan presiden Parti Bebas Rasuah, turut meluahkan kesediaannya menentang Najib di kerusi Pekan dalam pilihan raya umum akan datang. – 7 Mei , 2017.
Comments