Rafizi sahut cabaran Adam, dedahkan penyata kewangan Invoke


Muzliza Mustafa

Rafizi mendedahkan sumber dana NGO yang diasaskannya hari ini menyahut cabaran Adam Rosly.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2017.

Pengasas Invoke Malaysia, sebuah NGO yang mempunyai kaitan dengan PKR, Rafizi Ramli hari ini berkongsi penyata kewangan organisasi tidak bermotifkan keuntungan kepada umum kerana desakan yang dibuat pemimpin pemuda PKR sebelum ini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan kepada media, Rafizi yang juga merupakan naib presiden PKR berkata selaku penjawat awam, dia perlu memberikan jawapan kepada semua isu yang melibatkan ketelusan pentadbiran.

“Saya menghormati hak Adam Rosly untuk mengeluarkan kenyataan dan mendesak Invoke serta National Oversight and Whistleblowers (NOW) untuk mendedahkan sumber pendapatan dan perbelanjaannya.

Walaupun pada pandangan saya, secara politiknya, saya tidak perlu melayan kehendak Adam yang sudahpun diminta berundur daripada jawatannya berikutan siasatan SPRM yang sedang berlaku ke atasnya, tetapi saya percaya yang saya perlu memberikan jawapan segera kepada semua isu yang melibatkan ketelusan,” katanya lagi.

Kerana itu Rafizi memutuskan untuk mendedahkan penyata kewangan NGO terlibat.

Penyata itu mendedahkan yang Invoke menerima dana melalui beberapa cara dan salah satunya ialah daripada kocek Rafizi sendiri.

Turut didedahkan ialah sejumlah RM787,049 daripada RM2,780,652 milik NGO dalam akaunnya datang dari Rafizi.

Katanya lagi, wang itu ialah simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera miliknya yang dikeluarkannya sebelum dimasukkan ke dalam akaun Invoke.

Dia juga menambah yang dia menyerahkan sejumlah wang daripada gajinya sendiri kepada NGO terlibat dan menggunakan kad kredit peribadinya untuk membayar sebahagian bil Invoke.

Penyata itu turut menyenaraikan yang sejumlah besar dana NGO itu sejak penubuhannya tahun lepas pada 30 April, ialah hasil derma dan jualan perkhidmatan yang dilakukan secara sukarela berjumlah RM1,063,066.

Rafizi juga mendedahkan perbelanjaan NGO itu sehingga kini berjumlah RM2,394,440 dan NGO itu masih mempunyai baki berjumlah RM386,212 dalam akaunnya.

Tambahnya lagi, dia tidak dibayar untuk kerjanya di Invoke dan menambah yang buat masa sekarang, NOW tidak mempunyai dana kerana ia tidak melakukan aktiviti yang boleh menjana pendapatan.

“Satu-satunya perbelanjaan yang perlu dibayar ialah untuk sewa pejabat yang dibayar saya sendiri,” kata Rafizi.

Kenyataannya dikeluarkan berikutan dakwaan yang dibuat Adam yang mahukan Rafizi mendedahkan bagaimana Invoke dan NOW mendapatkan dana.

Adam dalam kenyataannya berkata dia tidak lagi boleh berdiam diri dan kepimpinan parti dan aktivis sudah bersabar sejak sekian lama.

Kebimbangan terbesar, kata Adam, ialah bagaimana dana yang dikutip secara besar-besaran daripada rakyat untuk Invoke dan NOW.

Jelasnya, adalah pelik kerana Rafizi gagal mendedahkan secara terperinci bagaimana dia menjana dana sedangkan dia sentiasa mendesak pihak lain termasuk BN dan pembangkang untuk mengisytiharkan aset mereka.

“Untuk mengekalkan kepercayaan awam kepada PKR dan pembangkang, dan selaras dengan prinsip ketelusannya, saya mendesak Rafizi untuk mendedahkan jumlah penuh yang dia kumpulkan untuk Invoke Malaysia dan NOW daripada orang awam, dan bagaimana ia dibelanjakan.

“Juga senaraikan pihak yang menerima dana yang dikutip Invoke,” kata Adam.

Katanya lagi sekiranya Rafizi gagal memenuhi tuntutan itu, dia akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi melindungi keyakinan rakyat kepada PKR dan Pakatan Harapan.

Ketua Pemuda Ampang itu menjadi tumpuan selepas dia ditahan dan didakwa kerana memberi kenyataan palsu dan pemalsuan dokumen kepada SPRM.

Adam mengisytiharkan dirinya tidak bersalah dan berjanji akan melawan semua dakwaan itu sehingga titik akhir.

Dakwaan yang dikenakan ke atasnya dilakukan menerusi Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 29 Mei. – 5 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments


  • Yang nyata, Rafizi gagal untuk senaraikan dgn jelas nama2 penyumbang sebab penyumbang terbesarnya mungkos ada kaitan dgn Soros. Juga dia gagal senaraikan secara terperinci segala perbelanjaan sebab NGO yg menerima sumbangan tu mungkin poket dia sendiri.

    Posted 9 years ago by Aris Penampar · Reply