Timbang rasa dengan pelarian, kata Tenaganita kepada Putrajaya


Diyana Ibrahim

Kira-kira 700 pelarian kebanyakannya etnik Rohingya hilang tempat tinggal di Kuala Lumpur minggu ini selepas pihak berkuasa mengeluarkan notis larangan sewa kepada Pati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2020.   

PUTRAJAYA perlu lebih berperikemanusiaan terhadap pelarian dan pendatang asing, kata aktivis migran, ketika pihak berkuasa minggu ini mengambil tindakan terhadap warga tempatan yang menyewa kediaman kepada golongan itu.

Lebih kurang 700 pelarian kebanyakannya etnik Rohingya hilang tempat tinggal di Kuala Lumpur minggu ini selepas pihak berkuasa mengeluarkan notis larangan sewa kepada pendatang asing tanpa izin (Pati), kata badan hak asasi Tenaganita.

Sukarelawan Tenaganita Hasnah Hussin berkata pembelaan ke atas Pati bukan untuk kesaksamaan dengan warganegara tetapi untuk mereka ditangani dengan lebih berkemanusiaan.

“Kebimbangan kita bukan soal kesaksamaan lagi, tapi lebih berharap belas ihsan , kemanusiaan terhadap pelarian, Pati sekali pun.

“Kita minta kerajaan kaji semula polisi supaya satu jalan penyelesaian bersifat kemanusiaan dapat dibuat daripada terus tolak mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Hasnah, golongan pendatang asing dan pelarian juga teruk terkesan semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, dan nasib mereka kini semakin ditekan.

Katanya, tidak mustahil mereka yang hilang tempat tinggal itu akan merempat sebagai gelandangan dan menambah risiko penularan pandemik Covid-19.

“Kita faham kerajaan tidak boleh terima lagi pendatang atau pelarian dari luar kerana bimbang Covid-19… itu kita memang faham, tapi yang kita tidak faham dan kesalkan kenapa mesti menekan mereka yang ada dalam Malaysia,”

Hasnah memberitahu The Malaysian Insight pihaknya menerima aduan daripada pelarian yang meminta perlindungan selepas dipaksa keluar dari rumah sewa tanpa notis awal minggu lepas.

Pelarian majoriti etnik Rohingya itu, termasuk wanita, kanak-kanak, dan warga emas, sebelum ini menyewa di Selayang, katanya.

Mereka kini diletakkan di bawah jagaan sementara beberapa badan masyarakat pelarian termasuk Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), tambahnya.

Beliau tidak mendedahkan lokasi mereka dengan alasan keselamatan.

Menurut Hasnah, perlindungan yang diberikan kepada mereka bagaimanapun bukan untuk selamanya kerana pelbagai kekangan yang ada.

“Setakat ini, berdasarkan rekod dari pelbagai NGO, ada lebih kurang 700 orang. Mereka berlindung dengan beberapa NGO untuk masa sekarang.

“UNHCR juga letakkan mereka di tempat yang selamat buat masa sekarang tetapi kita tidak tahu sampai bila kita boleh letak mereka,” katanya.

Seksyen 55E Akta Imigresen melarang mana-mana pihak membenarkan Pati masuk atau tinggal di premis mereka.

Mereka yang melanggar larangan boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 atau penjara tidak lebih setahun bagi setiap seorang PATI.

Mereka yang menggajikan Pati pula boleh dihukum denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara mengikut Seksyen 55B akta yang sama.

Semalam, menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan setakat ini sudah menghantar pulang 19,111 Pati ke negara masing-masing selepas mereka disahkan tidak dijangkiti Covid-19.

Mereka termasuk 45% warga Indonesia dan baki Bangladesh, Myanmar dan warganegara lain.

Sejak lebih tiga bulan lalu, Malaysia memperketatkan penguatkuasaan terhadap pendatang asing dan pelarian atas alasan mahu mengekang penularan pandemik.

Selain dilarang bekerja di pasar dan pasar borong, mereka juga setakat ini dilarang daripada solat berjemaah di masjid.

Pada Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri berkata warga asing yang memegang kad UNHCR tetap dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin.

Sehingga Mac lalu, seramai 179,521 pemegang kad UNHCR tinggal secara sementara di Malaysia, dengan 56.6 % daripadanya etnik Rohingya. – 12 Julai, 2020.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen