Penahanan warga Turki sah, polis ada bukti kukuh, kata KPN


Muzliza Mustafa

MALAYSIA tidak memerlukan arahan dari negara lain untuk membuat penahanan terhadap mana-mana individu di sini, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sidang media pagi ini, adakah penahanan tiga warga Turki sepanjang dua hari lalu adalah “arahan” daripada kerajaan Turki.

“Kenapa kita hendak tunggu arahan negara lain untuk buat tangkapan di sini? kita ada undang-undang sendiri, kita jaga keselamatan rakyat kita dan negara kita, jadi hak kita untuk memutuskan siapa yang hendak ditangkap,” katanya pada satu majlis di Bukit Aman, Kuala Lumpur pagi tadi.

Khalid berkata mereka yang hendak membuat kacau di Malaysia tidak dialu-alukan kedatangannya di sini.

“Jadi kepada orang luar yang hendak datang ke sini dan mengancam keselamatan negara kami, tidak perlu datang. Jangan bawa masalah di negara anda ke negara kami,” katanya.

Semalam, polis menahan warga Turki Ismet Ozcelik di Chenor, Pahang sehari selepas dua rakan senegaranya Turgay Karaman dan Ihsan Aslan ditahan di Damansara Height, Selangor kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mengancam keselamatan negara ini.

Khalid berkata penahanan tiga individu itu saling berkait dan mereka disiasat di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan.

“Kami ada alasan kukuh untuk ambil tindakan,” katanya.

Katanya, walaupun Turgay dan Ihsan sudah lama tinggal di sini, ia tidak bermakna mereka tidak membawa ancaman.

“Tidak kira berapa lama anda tinggal di sini walaupun hingga 50 tahun tetapi apabila mula terbabit dalam aktiviti membahayakan keselamatan negara, kami akan ambil tindakan,” katanya.

Turgay dan Ihsan menetap di Malaysia sejak 15 tahun lalu sementara Ismet, seorang pengarah universiti di Turki dengan pas lawatan sosial yang sah dan tamat tempoh pada 17 November – ditahan pada 13 Disember kerana menghalang pegawai imigresen menjalankan tugas.

Khalid berkata polis juga akan bertemu dan mengambil keterangan daripada ahli keluarga suspek susulan kes itu, jika perlu.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata Turgay dan Ihsan ditahan kerana didakwa ada kaitan dengan kumpulan pengganas IS.

Bagaimanapun, Khalid enggan mengesahkan kenyataan Zahid.

Khalid hanya berkata suspek ditahan kerana mengancam keselamatan negara.

Beliau juga enggan mendedahkan jenis aktiviti yang dilakukan suspek hingga menyebabkan polis bertindak.

Khabar angin mengatakan penahanan tiga individu itu dibuat atas permintaan kerajaan Turki, kerana mereka dikatakan penyokong Gulen, tetapi Khalid menafikannya.

Gerakan Gulen dikatakan terbabit dalam rampasan kuasa di Turki tahun lalu dalam cubaan menggulingkan presidennya, Recep Tayyip Erdogan.

Malaysia dan Turki bekerjasama rapat dalam memantau keganasan membabitkan kedua-dua negara terutama apabila ia membabitkan IS.

Turki sebelum ini menghantar pulang rakyat Malaysia yang mahu memasuki Syria menerusi sempadan Turki untuk menyertai IS.

Hubungan itu membantu Malaysia dalam menangani isu berkaitan pencegahan keganasan, dan Putrajaya memerlukannya untuk memastikan negara ini selamat daripada ancaman pengganas. – 5 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments