Gabungan minta bantuan antarabangsa cari Pastor Koh, aktivis


Noel Achariam

SEBANYAK 46 kumpulan persatuan sivil memohon bantuan antarabangsa untuk memberi tekanan terhadap Putrajaya bagi memberi jawapan terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga lagi aktivis yang hilang sejak enam bulan lalu.

Gabungan itu yang akan didedahkan hari ini, percaya pihak berkuasa di sini tidak cukup berusaha untuk menyelesaikan kes itu dan berharap campur tangan antarabangsa akan akhirnya memberi sedikit jawapan berhubung kehilangan empat individu itu.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) akan mengetuai gabungan itu untuk menggerakkan usaha sokongan dan mencari maklumat kehilangan empat aktivis itu.

Sebagai permulaan, gabungan itu akan meminta bantuan jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai “kehilangan yang dirancang”, Amnesty International dan Human Rights Watch.

Jurucakap gabungan itu Thomas Fann berkata mereka perlu mengambil pendirian lebih memaksa dan terma yang digunakan terhadap individu hilang itu ialah “kehilangan yang dirancang”.

“Ia terminologi PBB yang kami guna untuk menggambarkan apa berlaku kepada empat individu itu.

“Kami sudah memantau isu ini secara tidak formal kerana kami bukan sebahagian daripada mana-mana kumpulan rasmi.

“Bagi mengekalkan kempen ini, kami memutuskan untuk membentuk satu kumpulan secara rasmi,” kata Fann kepada The Malaysian Insight.

Gabungan itu akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) terhadap siasatan polis setakat ini.

“Keluarga mangsa cuba meminta polis bertindak tetapi mereka sambil lewa saja. Contohnya, rakaman CCTV penculikan Koh, keluarga dan rakannya yang dapat. Mereka (polis) tidak pergi cari dan periksa pun.”

Koh diculik daripada kenderaannya ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya pada 13 Februari.

Rakaman CCTV menunjukkan 15 lelaki dalam tiga kenderaan SUV hitam melakukan penculikan itu yang mengambil masa beberapa saat saja.

Kereta Koh, jenis Hondal Accord warna perak dengan pendaftaran ST 5515D, masih hilang.

Fann juga mempersoalkan mengapa polis tidak tampil memberi maklumat terkini penyiasatan itu seperti dijanjikan sebelum ini untuk sering memaklumkan kepada keluarga.

“Apa yang kami tahu tidak ada maklumat terkini. Jika Koh disyaki memurtadkan umat Islam, maka pihak berkuasa patut ambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada. Kami hairan adakah mereka menyembunyikan sesuatu.”

Individu lain yang hilang ialah Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth, di mana kehilangan mereka kali disiarkan di laman web Australia xyz.net.au, pada 23 Februari, 10 hari selepas penculikan Koh.

Dilaporkan pastor berketurunan Melayu itu yang sebelum ini beragama Islam, hilang pada 30 November, 2016.

Sementara itu, Amir ialah aktivis sosial, dan pernah menjadi sebahagian pasukan ekspedisi Gunung Everest Malaysia pada 1997. Dia hilang pada malam 24 November, 2016 selepas memberitahu anak perempuan sulungnya yang dia hendak keluar.

Antara yang menyertai gabungan itu ialah Bersih 2.0, Lawyers for Liberty, Sisters in Islam, Sarawak for Sarawakian dan Perlis Hope.

Gabungan itu juga akan mengumumkan nombor hotline bagi mereka yang mempunyai maklumat mengenai mangsa lain yang hilang. – 5 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments