PH serahkan kepada rakyat putuskan logo baru


Rekaan logo PH yang didedahkan semalam tidak diterima ramai. – Gambar Facebook Rafizi Ramli, May 4, 2017.

Selepas senarai pendek logonya diperlekehkan semalam, Pakatan Harapan beralih kepada orang awam untuk kreativiti mereka.

Dalam kenyataan hari ini, PH berterima kasih kepada semua yang memberikan maklum balas kepada rekabentuk logo yang dimuatnaik Naib Presiden PKR Rafizi Ramli melalui akaun Facebooknya.

”Selepas mengambil kira pandangan orang ramai dan pemimpin PH, PH Media mengalu-alukan penghantaran logo daripada mereka yang berminat,” tulis kenyataan itu.

Garis panduan untuk logo itu turut disenaraikan. Logo itu perlu mempunyai dua warna, memaparkan simbol yang mudah dikenali dan difahami, dan menggambarkan konsep harapan, keadilan, integriti dan perpaduan.

Rekabentuk logo itu juga perlu kelihatan menarik dalam saiz kecil, seperti dalam rencana atau saiz besar seperti bendera.

Mereka yang berminat menghantar rekaan mereka perlu menghantar dua versi, berwarna dan hitam putih.

Logo itu juga perlu disertakan dengan “rekabentuk vektor” dan direka menggunakan Adobe Illustrator atau program yang serupa dengannya.

Mereka yang berminat boleh menghantar penyertaan dan rekaan logo mereka ke [email protected] bermula hari ini sehingga Selasa depan, 9 Mei.

Mereka yang menghantar rekaan juga perlu menyertakan nama sebenar mereka, nombor MyKad dan nombor telefon.
Penganjur memilik hak untuk menggunakan rekaan logo yang diterima- yang juga akan dihantar ke Pendaftar Persatuan sebagai simbol PH- dan melakukan perubahan kepada rekaan asal sekiranya perlu.

Dilaporkan yang rekaan ringkas yang didedahkan Rafizi dalam akaun Facebook semalam gagal memikat hati pengguna media sosial.

Logo pertama mempunyai perkataan “harapan” dalam warna hitam berlatarbelakangkan warna merah dan rekaan yang nampak seperti matahari di atas perkataan itu. Logo kedua pula mempunyai rekaan yang serupa tetapi berlatarbelakangkan warna kuning.

Logo ketiga yang berwarna merah dan putih, menunjukkan jari yang melambangkan bagus dengan nama pakatan di bawahnya.  

Nurul Fakhri, salah seorang pengguna Facebook menulis: “Saya hampir pasti menyokong PH tetapi saya tak sokong logo-logo ini. Ini terlalu lapuk.”

Terry Gallyot menulis: “Buat pertama kali saya tidak bersetuju dengan anda, semua rekaan yang disenarai pendek nampak amatur.”

Ramai lagi yang memberikan pandangan mereka tentang bagaimanakah logo PH perlu kelihatan, malah ramai juga yang meminta Rafizi memberikan kerja rekaan itu kepada orang awam, penyokong atau pereka grafik yang berminat membantu pakatan dalam kerja-kerja seni kreatif. – 4 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments