LEBIH separuh pekerja di Malaysia berdepan risiko hilang pekerjaan kerana automasi dalam tempoh dua dekad akan datang, dengan lebih ramai rakyat Malaysia terjejas berbanding pekerja asing, kata laporan Khazanah Research Institute (KRI).
Empat daripada lima pekerjaan itu ialah pekerja separa mahir seperti pekerja kilang dan kerani. Dan juga, 90% kerja separa mahir ini dipegang rakyat Malaysia.
Kertas perbincangan itu yang ditulis timbalan pengarah penyelidikan KRI Allen Ng, dikeluarkan pada 28 April.
Laporan KRI mengenai teknologi, pekerjaan dan ekonomi rakyat Malaysia itu berkata negara ini berdepan risiko penyahindustrian jika ia tidak mengguna pakai teknologi jimat buruh.
Ia berkata perubahan teknologi penting dalam menentukan pertumbuhan ekonomi moden dengan kelas dikenali sebagai teknologi kegunaan umum (GPTs).
GPTs ialah teknologi yang menuju kepada perolehan produktiviti besar dalam ekonomi bagi tempoh masa panjang.
“GPTs klasik ialah stim, elektrik dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). GPTs ini membawa perubahan besar ekonomi – dua terawal dalam revolusi industri dan zaman informasi,” kata Ng.
Fasa semasa, Kepintaran Buatan (AI), kini semakin dikenali sebagai GTP yang baharu.
“AI berkemampuan menyebarkan kebolehgunaan AI, analisis data, perkomputeran. Ia ada potensi untuk mengganggu industri yang berbeza, daripada pembuatan, penjagaan kesihatan, pengangkutan, jualan hingga kewangan.
“Dan sementara revolusi industri pertama menyaksikan stim digantikan dengan buruh dan kuasa kuda, kita sekarang menyaksikan teknologi menggantikan dan melebih kemampuan kognitif kita,” katanya.
Kelajuan AI yang boleh menjejaskan industri akan lebih cepat kerana perkembangan kuasa mesin komputer, penciptaan maklumat digital, rangkaian jaringan perkakasan dan pelaburan besar terhadapnya.
Ng berkata laporan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) 2016 menyatakan kira-kira 54% daripada kerja di Malaysia berisiko tinggi untuk digantikan dengan teknologi dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Bagi tahap kemahiran, lebih 70% atau semua separa mahir dan 80% kerja kemahiran rendah berdepan risiko itu. Kira-kira 40% pekerjaan mahir berdepan risiko sederhana manakala risiko paling rendah ialah bagi pekerja mahir.
“Pekerjaan ini merangkumi semua sektor ekonomi besar.”
Ng berkata akibatnya terhadap pasaran buruh Malaysia “agak menakutkan” jika teknologi mengambil alih benar-benar berlaku.
“Walaupun penggunaan teknologi automasi boleh mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja tidak mahir, pekerjaan separa mahir yang paling berisiko dan 90% daripadanya dipegang rakyat Malaysia.
“Jika penggantian teknologi berskala besar berlaku, ramai rakyat Malaysia akan tidak ada kerja,” katanya.
Katanya, bertahan dan bergantung pada buruh warga asing yang gajinya murah juga bukan pilihan terbaik untuk Malaysia.
“Apa akan berlaku kepada Malaysia jika ekonomi besar lain menggunakan automasi lebih hebat? Jika mereka buat begitu, negara berkenaan akan mengurangkan kos buruh dan meninggalkan Malaysia di belakang dan mempercepatkan penyahindustrian Malaysia.
“Penting dinyatakan yang kita sudah mencapai industrialisasi tertinggi, dalam bentuk nilai tambah pada 2000. Sejak itu, ekonomi semakin penyahindustrian tanpa perkembangan penting dalam perkhidmatan moden untuk menggantikan pembuatan teknologi tinggi dan sederhana yang berkurangan.
Ng berkata Malaysia boleh mempertimbangkan semula dasar. Katanya, dasar industri perlu ada berdasarkan kepada kesediaan peningkatan teknologi terhadap industri Malaysia.
“Kedua ialah mempunyai dasar pendidikan yang menyediakan rakyat Malaysia dengan kemahiran berkaitan untuk masa depan dengan penekanan pembelajaran sepanjang hayat. Tambahan lagi kita perlu fokus kepada penciptaan pekerjaan berkualiti oleh industri kecil dan sederhana (IKS).”
Laporan itu berkata pengalaman lalu Malaysia menawarkan harapan.
“Pada pertengahan 1980-an, sementara dunia pulih daripada kemelesetan, Malaysia mengambil dasar inisiatif yang tegas untuk mengubah ekonomi dengan melancarkan agenda dasar industri komprehensif pada 1986 untuk mengubah struktur ekonomi dan menyepadukan ekonomi domestik dan dunia.
“Pada masa ini juga, buat pertama kalinya, lebih ramai rakyat Malaysia mendapat pendidikan menengah berbanding sekolah rendah. Ketika perubahan global dipacu ICT tiba pada awal 1990-an, asasnya sudah pun ada.
“Masa itu Malaysia dikenali sebagai keajaiban Asia Timur,” kata Ng. – 3 Mei, 2017.
Comments