Warga Turki ‘diculik’ dalam tahanan polis, kata KPN


Muzliza Mustafa

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan penangkapan warga Turki yang didakwa diculik semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2017.

POLIS hari ini mengesahkan menahan seorang wargaTurki, yang didakwa diculik kerana mempunyai hubungan dengan gerakan Gulen yang diharamkan di negara itu. Lelaki berkenaan bekerja dengan Persatuan Dialog Turki-Malaysia.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan penangkapan itu.

Beliau berkata Turgay Karaman dan seorang lagi warga Turki I. Aslan ditahan di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan kerana didakwa terbabit dalam aktiviti yang mengancam keselamatan dan keselamatan di negara ini.

“PDRMasia ingin mengesahkan T. Karaman dan I. Aslan ditahan semalam kerana terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan dan keselamatan di Malaysia di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan,” kata Khalid seperti disiarkan di dalam akaun Twitter @ KBAB51.

Turgay Karaman, bekas pengetua di Sekolah Antarabangsa Time, Kuala Lumpur dibawa lima lelaki tidak dikenali menaiki dua kereta di tempat letak kereta bawah tanah di Wisma E & C, Damansara Height menurut satu laporan polis yang dibuat rakannya Suheyl Ozcelik lewat petang semalam.

Kejadian itu dirakam menerusi kamera televisyen litar tertutup.

Rakannya membuat laporan kerana bimbang Turgay mengalami nasib yang sama seperti dua rakannya yang “diculik” tahun lepas. Keduanya mereka dihantar pulang ke Turki pada hari berikutnya.

Turgay sepatutnya memberi keterangan di mahkamah sebagai saksi bagi kes jenayah yang ditetapkan perbicaraannya pada 3 dan 4 Mei.

Beliau dijangka bertemu rakan dan peguamnya di pejabat mereka pada petang Selasa untuk taklimat saksi.

Rakannya cuba menghubungi apabila beliau tidak hadir pada pertemuan itu tetapi gagal.

Selepas beberapa kali gagal, mereka mengambil keputusan memeriksa rakaman CCTV.

Rakannya dalam laporan polis berkata melihat Turgay dibawa lima lelaki tidak dikenali dalam dua kereta – Nissan Almera dan Proton Gen2.

Gerakan Gulen adalah gerakan keagamaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang dinamakan bersempena ulama Fethullah Gullen, digambarkan sebagai kumpulan pengganas oleh Turki.

Reuters melaporkan Presiden Turki, Tayyip Erdogan berkata beliau akan terus memburu ahli yang didakwanya cuba menggulingkan kerajaan. – 3 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments