Dasar pendidikan baru untuk 1,200 sekolah agama


Muzliza Mustafa

Pangkalan data sedang diwujudkan bagi menyelaraskan semua sekolah agama di bawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2017.

PENGENDALI sekolah tahfiz sedang menyediakan dasar pendidikan bagi menyelaraskan kurikulum semua sekolah agama Islam, dengan keutamaan sekarang menubuhkan pangkalan data, beberapa hari selepas kematian seorang pelajar tahfiz di Johor akibat didera.

Pangkalan data ini penting kerana amat berguna untuk menyelaraskan semua sekolah agama di bawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).

Persekutuan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Tahfiz Kebangsaan (Pinta) Zahid Mahmood memberitahu The Malaysian Insight proses awal sudah dimulakan untuk menubuhkan pangkalan data yang akan mengumpul butiran semua 1,200 sekolah tahfiz di Malaysia.

“Dengan pangkalan data ini dan DPTN, kita akan dapat menilai guru, kelayakan pengajaran dan kemahiran mereka, kualiti kakitangan, kurikulum, kokurikulum, keadaan pelajar, piawaian keselamatan, fahaman agama dan sumber pembiayaan tahfiz sekolah,” kata Zahid.

Ia akan menjadi pangkalan data pertama ditubuhkan, sejak penubuhan sekolah tahfiz di Malaysia pada 70-an, bertujuan mengawasi sekolah agama, termasuk yang tidak berdaftar.

Pengumpulan data akan dijalankan Pinta dengan bantuan jabatan agama semua negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sekolah tahfiz berada di bawah Jabatan Agama Negeri tetapi pemeriksaan menunjukkan hampir separuh daripada 1,200 sekolah adalah dikendalikan secara persendirian dan tidak berdaftar.

Ia mendapat perhatian umum susulan kematian pelajar tahfiz berusia 11 tahun, Mohd Thaqif Amin Mohd Gaddafi minggu lalu, didakwa akibat dipukul pembantu warden asrama di sebuah sekolah tahfiz swasta di Kota Tinggi, Johor.

Turut dilaporkan pembantu warden adalah bekas banduan yang sedang dalam parol dan pihak sekolah mengambilnya bekerja bagi memberi “peluang kedua”. Beliau kini sedang disiasat kerana membunuh.

“Kita tidak boleh tunggu lagi. Kita memerlukan pangkalan data sekarang. Ia perlu supaya kita boleh memantau sekolah dan menjadikan ia lebih mudah untuk menyelaraskan mereka apabila kita melaksanakan DPTN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Rangka kerja dan sistem dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan akan datang.”

Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) menggesa kerajaan mengkaji semula sepenuhnya semua sekolah agama di negara ini berikutan kematian Thaqif.

Pengerusi Page Noor Azimah Abdul Rahim berkata perlu ada penilaian teliti terhadap guru, kakitangan dan juga fahaman agama semua sekolah ini.

Sehingga kini, tiada pangkalan data sekolah agama di negara ini yang memberikan maklumat itu.

Tinjauan The Malaysian Insight juga tidak menunjukkan tiada sebarang maklumat boleh didapati walaupun di laman sesawang rasmi Jakim.

Zahid berkata Pinta yang dilancarkan secara rasmi bulan lepas, mempunyai wakil di setiap negeri dan ditugaskan menyusun data sekolah tahfiz dalam bidang kuasa mereka.

“Data ini akan dikemaskini setiap tahun untuk memantau bilangan sekolah tahfiz di negeri ini,” katanya.

Pasukan Pinta yang sedang mengusakan projek ini mengadakan mesyuarat pertamanya minggu lepas bagi membincangkan struktur kerja mereka.

Beliau berkata kerajaan mahu DPTN dilaksanakan dalam tempoh dua tahun tetapi persekutuan tidak akan tergesa-gesa kerana “ia akan mengambil masa bagi semua sekolah agama menerima dasar pendidikan baru ini.”

Pada 20 Mei, kira-kira 30,000 huffaz akan berkumpul di Masjid Negara di Kuala Lumpur untuk pelancaran Pelan Strategik 5 Tahun Pinta, yang akan dilancarkan Perdana Menteri Najib Razak.

Di bawah pelan lima tahun itu, organisasi akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan bagi guru tahfiz, institut mengajar dan universiti.

Najib baru-baru ini memberi peruntukan sebanyak RM80 juta kepada sekolah pondok berdaftar, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan institusi tahfiz di bawah Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah, bertujuan untuk memperkasa dan memperkukuhkan institusi pendidikan agama.

Daripada RM80 juta, RM30 juta diperuntukkan bagi menyelaras dan membangunkan pendidikan tahfiz melalui DPTN, yang pertama seumpamanya oleh kerajaan bagi pendidikan agama.

Beliau turut mengumumkan insentif sebanyak RM10,000 kepada institusi tahfiz swasta yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri. – 3 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments