26 ditahan di Sarawak kerana langgar perintah kawalan pergerakan


Desmond Davidson

Kebanyakan mereka yang ditahan melanggar perintah kawalan pergerakan kerana gagal memberikan penjelasan munasabah mengapa keluar dari rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2020.

SERAMAI 26 orang termasuk empat wanita ditahan di Sarawak kerana melanggar perintah kawalan pergerakan, kata polis negeri.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Dev Kumar berkata mereka gagal memberikan penjelasan munasabah mengapa keluar dari rumah dan melanggar perintah larangan pada tengah malam Selasa dan 8 pagi hari ini.

Antara mereka yang ditahan ialah dua lelaki di bandar Batu Niah yang cuba melanggar sekatan jalan raya pada waktu pagi.

Selain daripada kedua-dua lelaki di Batu Niah yang ditahan untuk memudahkan siasatan, semua yang lain dibebaskan dengan jaminan polis selepas kenyataan mereka direkodkan.

Kesemua mereka dikenakan hukuman di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

“Mereka tidak dapat memberikan alasan munasabah mengapa berada di jalan raya atau di tempat awam (pada waktu berkenaan),” katanya dalam satu kenyataan.

Kebanyakan mereka yang ditahan di Miri termasuk seorang di Batu Niah, tujuh di daerah Dalat, Sarikei (4), Kota Samarahan, Lawas dan Bintulu masing-masing dua, Kuching dan Padawan seorang.

Kumar memberi amaran bahawa polis tidak teragak-agak menangkap sesiapa sahaja yang tidak memberikan alasan munasabah apabila ditahan dalam sekatan jalan raya. – 25 Mac, 2020.


Sign up or sign in here to comment.


Comments