Amaran oren hujan lebat, ribut dikeluarkan di 4 negeri


Melati A. Jalil

Amaran peringkat oren hujan lebat untuk beberapa negeri, termasuk Pulau Pinang ketika hujan lebat dan angin kencang dijangka terus melanda hari ini.Negeri lain yang turut terjejas adalah Kedah, Perlis dan Perak di daerah Kerian, Larut, Matang, Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar. – Gambar ihsan Bomba, 5 November, 2017.

JABATAN Kaji Cuaca sudah menurunkan amaran hujan lebat dan ribut kepada peringkat oren berbanding peringkat merah malam tadi untuk Pulau Pinang dan sebahagian Kedah termasuklah Yan dan Kuala Muda walaupun masih meramalkan hujan lebat dan angin kencang terus berlaku hari ini.

Amaran peringkat oren untuk negeri lain yang dikeluarkan semalam untuk Perlis dan Perak di daerah Kerian, Larut, Matang, Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar masih kekal.

Amaran peringkat oren bermaksud keadaan cuaca boleh memberi kesan kepada penduduk dan mengingatkan mereka bersiap sedia, manakala peringkat merah bermaksud penduduk perlu bertindak melindungi keselamatan mereka termasuk berpindah.

Ketua Pengarah Jabatan Kaji Cuaca Malaysia Alui Bahari mengatakan hujan lebat semalam bukanlah kesan langsung Taufan Damrey yang melanda Vietnam yang membunuh 19 orang.

“Kita tidak terima kesan langsung Taufan Damrey, ia disebabkan tekanan rendah yang terbentuk di kawasan utara Semenanjung.

“Tetapi kami jangka situasi akan bertambah baik esok,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hujan berterusan dan angin kencang bagaimanapun dijangka akan berlaku di Kelantan dan Terengganu sehingga hari ini.

Beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat semalam, susulan hujan lebat dan angin kencang yang berlaku selama lima jam bermula sekitar jam 2 petang.

Tahap air meningkat antara 0.2m sehingga 0.5m dan beberapa pokok juga tumbang.

Antara kawasan terjejas di George Town adalah Kampung Masjid, Jalan P. Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Kebun Lama, Lebuh Carnovan, Jalan Anson dan Halaman Bukit Gambir.

Bayan Baru, Bayan Lepas, Batu Ferringghi, Balik Pulau dan beberapa kawasan di Seberang Prai juga terjejas.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengatakan air di beberapa bantang sungai naik ke tahap merbahaya dengan Sungai Pinang mencatatkan ketinggian air 2.83m, Sungai Air Itam (6.58m) dan Sungai Dondang (21.88m). – 5 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen