Banjir makin parah, Pulau Pinang minta bantuan tentera


Banjir Pulau Pinang makin parah selepas hujan dan ribut malam tadi. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng awal pagi ini menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk memohon bantuan tentera. – Gambar ihsan Cheah Chee Guan, 5 November, 2017.

PULAU PINANG meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas keadaan banjir di negeri itu bertambah parah malam tadi setelah hujan dan ribut taufan melanda kawasan utara Semenanjung Malaysia semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng awal pagi ini menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk memohon bantuan tentera.

Dalam satu kenyataan video di Facebooknya, Lim berterima kasih kepada Zahid, yang juga menteri dalam negeri, kerana menjawab panggilan telefonnya biarpun sudah pukul 3.30 pagi.

“Beliau berjanji akan menghantar Angkatan Tentera Malaysia untuk selamatkan Pulau Pinang.

“Harap semua terus bersabar… terus bersabar dan kita akan cuba pastikan bantuan… sabar,” kata Lim, yang nampak sebak.

“Jaga keselamatan anda dan keluarga anda.”

Dalam perkembangan terbaru menerusi catatan terbaru di Facebooknya, Lim mengatakan unit tentera dari Sungai Petani, Kedah dalam perjalanan ke negeri itu untuk membantu operasi banjir.

“Memandangkan sumber yang kita ada tidak cukup untuk menangani (kejadian banjir), maka kita masih menunggu unit tentera dari Sungai Petani, Kedah,” ujar beliau.

Lim turut memberitahu air terus naik manakala ribut belum juga reda.

“Keadaan semakin genting. Air masih naik, angin masih kuat, air sampai 10 hingga 12 kaki lepasi bumbung di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau menambah pusat pemindahan yang kini menempatkan penduduk yang diselamatkan tiada bekalan elektrik.

Seramai 1,968 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir membabitkan daerah Seberang Perai Tengah (SPT) 1,125 orang, Seberang Perai Utara (615), daerah Timur Laut (70) dan daerah Barat Daya (158).

Sehingga pukul 7:00 pagi tadi, hujan telah reda serta beberapa kawasan yang dinaiki air juga telah surut.

Jabatan Kaji Cuaca malam tadi mengeluarkan amaran tahap merah hujan lebat dan ribut sehingga lewat hari ini di Pulau Pinang dan sebahagian Kedah melibatkan Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.

Hujan lebat dan angin kencang ini dipercayai tempias daripada Taufan Damrey yang melanda Vietnam semalam, membunuh sekurang-kurangnya 19 orang.

Antara kawasan yang paras airnya melepasi bumbung ialah Bandar Baru Air Itam, lapor The Star.

Orang ramai yang berkongsi maklumat melalui media sosial juga memaklumkan kawasan seperti Persiaran Gurney, yang tidak pernah mengalami banjir sebelum ini turut dinaiki air.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang memberitahu antara jalan yang dinaiki air sejak pukul 7 pagi Ahad ialah Jalan Magazine, Jalan Gurdwara, Jalan Jelutong, Jalan Sg Pinang dan Jalan P. Ramlee.

Beberapa kawasan yang sebelum itu dinaiki air seperti Jalan Masjid dan Terminal Bus Sg Nibong dilaporkan beransur surut.

Beberapa batang jalan juga ditutup atau tertutup kepada lalu lintas selepas pokok tumbang dan kerja-kerja pembersihan dijalankan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak malam tadi.

Lim menyifatkan banjir di Pulau Pinang ini sebagai “satu bencana yang tidak pernah berlaku” apabila dilanda taufan dan ribut tanpa henti sejak semalam.

“Sampai 80 peratus Pulau Pinang kena, dan saya ingin minta rakyat kalau boleh duduk di rumah demi keselamatan,” katanya, dan menambah Jalan Tun Sardon di sebelah barat daya Pulau Pinang ditutup kerana tanah runtuh.

“Tolonglah jaga-jaga, jaga diri sendiri, kalau keluar kawasan banjir, cuba pergi ke kawasan tinggi dan jagalah keselamatan keluarga.”

The Star melaporkan kebanyakan penduduk yang berkerja syif malam di kawasan perindustrian Bayan Lepas tidak dapat pulang ke rumah awal pagi tadi selepas keadaan banjir di Bayan Baru dan Relau menyekat laluan ke daerah-daerah lain. – 5 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen