Wan Ji disiasat kerana menghina sultan


Wan Ji Wan Hussin pernah didakwa di mahkamah pada Oktober 2014 ekoran satu kenyataan di Facebook yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. – Gambar Facebook, 13 Oktober, 2017.

WAN Ji Wan Hussin, yang ditahan di Seberang Prai, Pulau Pinang selepas sembahyang Jumaat hari ini, disiasat berhubung dakwaan menghina sultan, lapor Bernama.

Laporan itu memetik Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun mengesahkan siasatan itu dibuat susulan beberapa laporan yang diterima oleh pihak polis sebelum ini.

“Wan Ji ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana disyaki menghina sultan,” katanya, seperti dipetik oleh Bernama.

Siasatan terhadap Wan Ji ini kebetulan dibuat pada minggu yang sama pihak berkuasa menyiasat pegawai agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, juga di bawah Akta Hasutan 1948, berhubung kenyataannya dalam sebuah kuliah di Shah Alam yang dikatakan mengecam Sultan Johor.

Fuzi juga dilaporkan berkata polis sebelum ini tidak dapat mengesan Wan Ji.

Wan Ji pernah didakwa di mahkamah pada Oktober 2014 ekoran satu kenyataan di Facebook yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tindakan terhadapnya diambil ketika Putrajaya pada masa itu menyiasat dan mendakwa sejumlah pemimpin politik, aktivis dan ahli akademik di bawah akta yang sama, termasuk Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan pensyarah Universiti Malaya, Prof Azmi Sharom.

Wan Ji kemudian mengemukakan kes ke Mahkamah Persekutuan mencabar kesahihah Akta Hasutan di sisi Perlembagaan Persekutuan, tindakan sama yang diambil oleh beberapa orang lain yang berdepan tindakan yang sama.

The Malaysian Insight difahamkan kes itu masih pada peringkat perbicaraan di mahkamah.

Wan Ji bukan seorang yang asing dengan tindakan daripada pihak berkuasa. Pada 30 Julai lepas, Wan Ji ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung dakwaan memberi usrah tanpa tauliah di sebuah surau di Petaling Jaya, Selangor.

Beliau juga pernah ditahan oleh pihak berkuasa negeri yang sama pada 20 Februari 2015 atas dakwaan yang hampir sama melibatkan sebuah kuliah di sebuah surau di Shah Alam.

Ahli Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), yang diketuai oleh Zamihan sendiri, menyifatkan dia teraniaya dan siasatan terhadapnya konspirasi golongan Wahabi untuk menyerang “seorang pejuang Islam”. – 13 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen