PERUNTUKAN beberapa program yang menyebabkan kerajaan Selangor Pakatan Harapan disukai rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 akan dipotong pada Belanjawan 2020 negeri.
Bagaimanapun, peruntukan program lain dijangka akan bertambah dalam usaha kerajaan Selangor memastikan bantuan disediakan mencapai kumpulan sasaran ditetapkan di negeri terkaya Malaysia itu.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, salah satu program yang akan dikurangkan peruntukan adalah program air percuma negeri, yang mana buat masa sekarang setiap isi rumah menerima 20 kubik per meter air percuma setiap bulan.
Program ini akan dibataskan kepada isi rumah pendapatan rendah yang memperolehi RM4,000 ke bawah sebulan, mereka dijangka akan mendapat pelepasan bayaran air mencecah 25 kubik per meter sebulan, kenaikan 20 kubik permeter sejak diperkenalkan pada 2008.
Antara program lain yang ditambah peruntukan tahun depan adalah bantuan makanan untuk ibu miskin, atau Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), kata sumber lagi.
Semakan semula peruntukan program ini adalah untuk pelaksanaan “pengemasan” dan semak silang penerima bantuan dengan pangkalan data kemiskinan kerajaan persekutuan supaya manfaat program disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, kata seorang pegawai kanan negeri kepada The Malaysian Insight.
Program pengemasan itu juga bertujuan untuk memastikan pengurangan program yang bertindih dengan program kerajaan persekutuan.
“Kami mahu memastikan negeri menggunakan belanjawan dengan cara terbaik untuk memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” kata pegawai itu.
Program ini dimulakan oleh Pakatan Rakyat, apabila tiga partinya- PKR,DAP dan PAS- merampas Selangor pada Pilihan Raya Umum 2008.
Program ini adalah cara Pakatan untuk membuktikan mereka menguruskan kewangan negeri dengan lebih baik dan jujur daripada Barisan Nasional, yang ketika itu mentadbir Putrajaya.
Memandangkan Selangor dan Putrajaya kini diperintah pihak sama, kerajaan negeri mahu persekutuan berkongsi sedikit bebannya dalam program bantuan ini.
“Walaupun kami negeri terkaya, dana masih terhad. Kita masih perlukan duit untuk bayar (projek) jalan, jambatan, untuk mitigasi banjit dan menggerakkan skim perumahan terbengkalai. Kita juga perlukan duit untuk bentuk pekerjaan.
“Jadi, kalau kita boleh selaraskan program kita dengan kerajaan persekutuan, kita akan dapat berjimat dan menggunakannya di bidang yang masih belum diberi perhatian.” – 31 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen