Umno mahu bawa usul pecat Speaker DUN Selangor


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul itu akan dikemukakan kerana tindakan Ng itu tidak menghormati menteri besar dan juga sultan Selangor sebagai ketua agama di negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Ogos, 2019.

UMNO akan mengemukakan usul memecat Speaker Dun Selangor Ng Suee Lim yang didakwa menghalang cadangan pindaan ke atas Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul itu akan dikemukakan kerana tindakan Ng itu tidak menghormati menteri besar dan juga Sultan Selangor sebagai ketua agama di negeri itu.

“Persidangan DUN yang panjang ditamatkan dalam tempoh dua hari kerana ada RUU yang sepatutnya dibaca oleh MB. Bukankah ini kurang ajar?

“Hal ehwal agama Islam di bawah (bidang kuasa) Sultan. Ertinya Speaker tidak menghormati intitusi Raja dan tidak menghormati kuasa Raja sebagai ketua agama di Selangor.

“Sepatutnya Speaker itu dipecat dan saya memberikan kuasa sepenuhnya kepada (Ketua Pembangkang) Rizam Ismail, untuk bawa usul di DUN bahawa Speaker mesti dipecat,” katanya.

Ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Petaling Jaya itu merujuk kepada cadangan pindaan yang tidak jadi dibentangkan dalam persidangan DUN awal bulan ini.

Cadangan itu memberi hak menukar agama anak secara sepihak kepada ibu atau bapa yang memeluk Islam.

Rang undang-undang berkenaan didakwa mendapat sokongan istana atas saranan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Adun Pakatan Harapan bagaimanapun mahu Amirudin mempertimbangkan semula usul tersebut kerana bimbang ia akan menyebabkan kerajaan PH berpecah.

Wakil rakyat berkenaan juga mahu usul tersebut dirujuk terlebih dahulu kepada Peguam Negara sebelum dibentangkan di DUN.

Kebimbangan Adun PH itu disuarakan kepada Amirudin dalam pertemuan mereka pada petang 26 Julai lalu. – 18 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen