BEKAS ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya Peter Chong Fook Meng dilihat memasuki Thailand melalui sempadan Bukit Kayu Hitam pada 7 April, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.
Khalis berkata polis mempunyai bukti dalam bentuk gambar dan maklumat daripada Jabatan Imigresen yang menyokong dakwaan itu.
Katanya, Chong memasuki sempadan dengan menaik bas pada 6.30 pagi.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Chong bersendirian atau ditemani sesiapa.
“Saya tidak tahu apa niat dia hendak menghilangkan diri,” katanya.
Khalid berkata Chong mungkin melarikan diri kerana hutang.
Beliau juga memberi amaran kepada “pelbagai pihak” supaya tidak mengelirukan orang ramai dan menyebabkan kekacauan.
“Dia di luar negara. Kami tidak tahu apa alasannya,” katanya.
Khalid berkata Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk menjejaki di mana Chong berada.
“Dia masih ada di sana kerana tidak ada rekod menunjukkan dia sudah pulang,” katanya.
Katanya, beliau berharap Chong menghubungi keluarganya.
“Saya harap dia hubungi keluarganya beritahu dia sihat dan sebab kenapa dia ke luar negara. Kecuali jika dia buat begitu kerana sengaja hendak mengelirukan kita,” katanya.
Khalid berkata tindakan akan diambil terhadap Chong jika bukti menunjukkan dia sengaja berbuat demikian untuk mengelirukan orang ramai.
Chong keluar dari kondominiumnya di Persiaran Raja Chulan pada Rabu untuk minum bersama rakannya tetapi kemudiannya terus tidak pulang ke rumah.
Kehilangannya itu mencetuskan kebimbangan kerana ia berlaku dalam tempoh tidak sampai dua bulan selepas penculikan Pastor Raymond Koh di Petaling Jaya.
Koh diculik di Jalan SS4B/10 Petaling Jaya oleh sekumpulan 15 lelaki menaiki tiga kenderaan jenis SUV.
Khalid berkata polis juga bimbang dengan kejadian itu, sama seperti pihak lain termasuk organisasi bukan kerajaan.
“Saya lihat beberapa pihak termasuk Majlis Peguam bimbang dengan kes kehilangan orang. Bukan mereka saja, kami pun bimbang juga,” kata Khalid.
Terdahulu, Khalid berkata ada beberapa mesej menjadi viral menyatakan terdapat empat kes penculikan tetapi sebenarnya hanya ada satu iaitu Pastor Koh.
“Daripada lima yang dikatakan diculik, hanya satu ada bukti. Individu itu ialah Pastor Koh sementara yang lain, tidak ada bukti mereka diculik. Kes mereka akan kekal sebagai kes orang hilang,” katanya.
Sejak 2001 hingga 2015, seramai 13,290 dilaporkan hilang.
Polis berjaya menyelesaikan 8,017 kes setakat ini. – 12 April, 2017.
Comments