PEGUAM Najib Razak hari ini memfailkan rayuan untuk membatalkan penghakiman mahkamah tinggi yang membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas meminda tiga pertuduhan pengubahan wang haram dalam kes SRC International.
Mereka juga memfailkan rayuan menentang kebenaran permohonan Thomas untuk membatalkan perpindahan tujuh pertuduhan ke atas Najib dari mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi.
Peguam Najib, Shafee Abdullah memberitahu wartawan yang notis rayuan itu difailkan tengahari tadi, bersama-sama “certificate of urgency”.
“Beliau (Najib) juga akan memfailkan permohonan tangguh bicara di mahkamah rayuan untuk menghentikan perbicaraan yang bermula 12 Februari,” katanya.
Awal hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali melepaskan tanpa membebaskan Najib berkaitan tiga pertuduhan tambahan melibatkan pengubahan wang haram RM47 juta.
Beliau mengeluarkan penghakiman tersebut selepas pasukan pendakwaan diketuai Thomas memohon perkara tersebut. – 7 Februari, 2019.
Komen